suria

Keluarga mangsa lemas pilu sambut ketibaan mayat

NIBONG TEBAL: Suasana pilu dan sedih menyelubungi rumah Yew Ghim Chnieh, 20, sebaik saja mayatnya tiba dari Hospital Kampar hari ini.

Yew mati lemas ketika mandi di kawasan perkelahan Batu Berangkai, Kampar, petang semalam bersama dua rakannya.

Mayat Yew tiba di rumahnya kampung Valdor, Sungai Bakap kira-kira pukul 3.15 petang.

Mayat pelajar Universiti Tun Abdul Razak (UTAR) itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Cina di Berapit, Bukit Mertajam esok.

Sebaik mayat mendiang tiba, ibu serta anggota keluarga mangsa tidak dapat menahan rasa sedih dan menitiskan air mata.

Nenek mangsa, Ng Tze Xian, 72, berkata kali terakhir berjumpa dengan cucunya itu sebulan lepas.

"Mendiang merupakan harapan keluarga sejak ayahnya meninggal dunia akibat kanser lima tahun lepas," katanya.

Ng berkata mangsa merupakan anak sulung dari tiga beradik dan pernah bercita-cita mahu menyambung pengajian di luar negara namun hasratnya tidak kesampaian.

"Dia terpaksa melupakan hasrat itu untuk belajar di luar negara kerana perlu menjadi ketua keluarga selepas ayahnya mati," katanya.

Dua rakan mangsa James Wan Kai Khor, 20, juga dari Pulau Pinang dan Yew Shy Gin, 21, dari Sungai Petani, Kedah, turut dibawa pulang ke rumah keluarga masing-masing untuk dikebumikan. BERNAMA

Artikel Lain