suria

Kastam tahan wanita Jepun, rampas 4.7kg syabu

NILAI: Seorang wanita Jepun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jumaat lepas setelah pihak berkuasa menemui kira-kira 4.7 kilogram dadah jenis syabu dalam beg pakaian wanita itu.

Pengarah Kastam KLIA Azizah Ibrahim berkata wanita berusia dalam lingkungan 30an yang menaiki penerbangan Emirate dari Dubai ke KLIA itu ditahan pada pukul 9.55 malam.

Beliau berkata dadah itu dikesan selepas pegawai Katam melakukan imbasan terhadap tiga beg pakaian yang dibawa wanita terbabit.

"Hasil pemeriksaan, kami menemui dua bungkusan plastik cerah di dalam satu daripada tiga beg yang dibawa itu.

"Bungkusan yang tersorok di ruang khas di bahagian bawah beg itu mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah jenis syabu," katanya pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Kastam di Kampung Jijan dekat sini hari ini.

Azizah berkata anggaran berat kasar dadah itu ialah 4.7 kilogram dengan nilai pasaran RM1.2 juta.

Beliau berkata penahanan wanita Jepun itu menunjukkan sindiket pengedaran dadah sentiasa menukar modus operandi mereka dengan melibatkan pelbagai bangsa untuk membawa bahan terlarang itu.

"Wanita rakyat Jepun itu kini ditahan reman selama enam hari untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori," katanya. BERNAMA

Artikel Lain