suria

Esok hari penentuan halatuju baru MCA

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pusat MCA akan bermesyuarat Selasa dengan spekulasi semakin memuncak sama ada pemilihan baru parti akan diadakan bagi menyelesaikan masalah kepimpinan parti itu.

Terdapat tiga kemungkinan yang akan berlaku hasil daripada mesyuarat itu nanti iaitu sama ada peletakan jawatan semua anggota jawatankuasa bagi memberikan laluan pemilihan baru parti diadakan segera; kedua, satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) akan diadakan bagi membolehkan anggota perwakilan memutuskan sama ada mengadakan pemilihan baru parti atau ketiga berpegang kepada pelan perpaduan lebih unggul yang dikemukakan Presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat.

Cakap-cakap politik beberapa hari lepas menyatakan bahawa beberapa bekas pemimpin termasuk bekas presiden Tan Koon Swan dan bekas timbalan presiden Tan Sri Lim Ah Lek telah dipanggil untuk memainkan peranan di belakang tabir untuk membantu menyelesaikan kemelut yang sedang melanda MCA sekarang.

Wong Nai Chee, seorang daripada 16 anggota Jawatankuasa Pusat yang mahukan EGM diadakan, berkata mereka menolak pelan perpaduan yang dikemukakan kerana ia sepatutnya dikemukakan sebelum EGM parti pada 10 Oktober lepas.

Wong berkata, kesemua 16 anggota Jawatankuasa Pusat akan mendesak kepada peletakan jawatan beramai-ramai jawatankuasa itu bagi membolehkan satu pemilihan baru diadakan segera.

Jika gagal, mereka akan mendesak bagi EGM diadakan, katanya.

Keputusan EGM pada 10 Oktober lepas antara lain meluluskan undi tidak percaya terhadap Ong dan mengembalikan semula keanggotaan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai anggota parti tetapi tidak memberikan jawatan timbalan presiden kepada Dr Chua ekoran skandal video seksnya.

Bagaimanapun, seorang lagi anggota Jawatankuasa Pusat, Datuk Ti Lian Ker mempunyai pandangan yang berbeza. Beliau mahukan pelan perpaduan itu dilaksanakan kerana ia merupakan penyelesaian yang terbaik sepertimana yang dinasihati dan direstui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Mereka yang menentang Presiden, terutamanya anggota jawatankuasa yang dilantik sepatutnya meletak jawatan. Semua orang kini bercakap tentang pelan perpaduan, mengapakah kita hendak menentangnya?," soal beliau.

"Jika anda mahukan perpaduan, anda mesti turut menyertakan para penyokong Dr Chua untuk menjadikannya inklusif," katanya lagi.

Loh Seng Kok, seorang anggota jawatankuasa pusat pula selesa dengan mana-mana pilihan yang dikemukakan.

"Kedua-duanya tiada masalah bagi kami. Kami menyokong pelan perpaduan itu tetapi jika majoriti anggota memutuskan supaya diadakan pemilihan baru parti, saya tidak melihat ada sebarang masalah," katanya.

Artikel Lain