suria

Empangan semula jadi pecah punca arus deras

IPOH: Limpahan arus deras di Air Terjun Batu Berangkai di Kampar dekat sini yang mengorbankan tiga penuntut Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) semalam dipercayai berpunca daripada "empangan semula jadi" di bahagian hulu sungai yang pecah akibat tekanan air bertakung yang terlalu banyak.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata empangan semula jadi sering terbentuk akibat longgokan pokok tumbang dan ranting kayu.

"Hujan lebat dan tekanan air yang terlalu kuat menyebabkan empangan seperti itu pecah...ini punca yang disyaki. Kawasan berkenaan tidak mempunyai empangan yang dibina oleh mana-mana pihak," katanya kepada pemberita selepas melawat Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak di sini.

Beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berjaga-jaga apabila berkelah di kawasan air terjun terutama pada musim hujan sekarang.

Kong berkata beliau akan meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya menimbang kemungkinan menyediakan papan-papan tanda amaran di kawasan perkelahan yang berisiko sebagai peringatan kepada orang ramai.

Beliau berkata kejadian yang berlaku di Kampar itu sesuatu yang tidak dijangka kerana air bertakung secara semula jadi di kawasan tinggi apabila aliran disekat oleh sampah seperti batang dan dahan pokok tumbang.

Dalam kejadian petang semalam, tiga penuntut Utar kampus Kampar mati lemas setelah dihanyutkan arus deras ketika mandi di air terjun itu petang semalam dan mayat mereka dijumpai pasukan penyelamat dan penduduk kampung selepas lima hingga tujuh jam kemudian.

Tiga mangsa itu ialah dua penuntut lelaki James Wan Kai Khor, 20 dan Yew Ghim Chnieh, 20, serta seorang penuntut wanita iaitu Yew Shy Gin, 21. BERNAMA

Artikel Lain