suria

Dua konstabel polis mengaku tidak salah atas tuduhan rasuah

PULAU PINANG: Dua konstabel polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan rasuah yang didakwa dilakukan empat tahun lepas.

Mohamad Fadzly Yusof @ Mat Noor, 29, menghadapi tiga tuduhan dan Muhamad Rosli Mustaffa, 46, menghadapi dua. Kedua-dua mereka berkhidmat di pusat khidmat polis di Zon Perindustrian Bebas (FIZ) Bayan Lepas di sini.

Mohamad Fadzly didakwa cuba memperoleh wang suapan sebanyak RM1,000 daripada Mohd Fazli Md Lazim sebagai dorongan supaya tidak dikenakan tindakan terhadapnya kerana didakwa berkhalwat dengan Salbiah Hashim dan menerima RM100 daripadanya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lebuhraya Bayan Lepas, berdepan dengan Agilent Technologies, di sini, pada kira-kira pukul 9.15 malam, 5 Jan, 2005.

Dia juga menghadapi tuduhan ketiga iaitu menerima RM900 daripada Mohd Fazli untuk tujuan sama di luar pusat khidmat polis FIZ dekat sini pada pukul 2 petang, 6 Jan, 2005.

Hakim Rosilah Yop membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin atas ketiga-tiga pertuduhan itu dan menetapkan 16 Nov ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nur Lokman Samigan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala Mohamad Fadzly diwakili peguam S. Yagoo.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, Muhamad Rosli didakwa bersubahat dengan Mohd Fadzly dan menerima rasuah sebanyak RM100 dari Mohd Fazli di Lebuhraya Bayan Lepas, berdepan dengan Agilent Technologies di sini, pada kira-kira pukul 9.15 malam, 5 Jan, 2005.

Muhamad Rosli tidak wakili peguam manakala pendakwaan dijalankan oleh Mohd Nur Lokman.

Hakim Zanol Rashid Hussain membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap dua tuduhan itu dan menetapkan 16 Nov ini untuk sebutan semula kes. BERNAMA

Artikel Lain