suria

Polis S’gor akan siasat Badrul jika laporan dibuat; PKR anjur protes sehingga Badrul letak jawatan

KLANG: Polis akan menjalankan siasatan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah berhubung dakwaan yang kononnya beliau telah menyalahgunakan wang peruntukkan pembangunan di kawasannya sekiranya laporan polis dibuat.

Ketua Polis Selangor, Timbalan Pesuruhjaya Datuk Khalid Abdul Bakar berkata, bagaimanapun, sehingga saat ini, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan polis berhubung dakwaan tersebut.

“Kita akan melihat kes itu atau memanjangkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika ada laporan mengenainya. Tapi sekarang belum ada lagi...” katanya selepas melancarkan Pusat Jagaan Sehenti Bayi Twin Baby (KL) Sdn Bhd di Bandar Botanik dekat sini, Ahad. Pada hari Sabtu, Ketua PAS Kawasan Klang, Ismail Arsat mendakwa Badrul Hisham telah pun menggunakan RM200,000 daripada RM500,000 peruntukkan pembangunan yang diperuntukkan kepada wakil rakyat di kawasan tersebut oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Bagaimanapun, beliau berkata, tidaklah diketahui bagaimanakah Badrul membelanjakan peruntukkan tersebut sambil mendakwa setahunya tidak ada projek pembangunan yang dilaksanakan di kawasan Pelabuhan Klang hasil daripada peruntukkan itu.

Badrul Hisham telah pun mengisytiharkan dirinya bukan lagi wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Khamis lalu beberapa jam selepas beliau menerima arahan daripada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim supaya meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat Pelabuhan Klang.

Dan di Pelabuhan Klang hari ini sekitar 100 orang dipercayai penyokong PKR mengadakan protes selama lebih kurang 45 minit sambil memaparkan kain pemidang “Tak Nak Katak” .

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, memandangkan Badrul Hisham telahpun mengisytiharkan dirinya bukan lagi wakil rakyat PKR, adalah wajar untuk beliau meletakkan jawatan dan dapatkan mandat baru daripada pengundi kawasan berkenaan.

Santiago juga menuntut agar Badrul Hisham menjelaskan kepada para pengundinya bagaimanakah dia membelanjakan wang peruntukkan pembangunan yang disalurkan kepadanya itu.

“Kami berharap Jawatankuasa Terpilih Untuk Kompetensi, Akauntabiliti dan Ketelusan (Selcat) akan menyiasat beliau,” katanya lagi.

Malah kata Santiago, siri protes di kawasan Dewan Undangan Pelabuhan Klang akan diteruskan sehinggalah Badrul melepaskan jawatannya sebagai ADUN.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain