suria

Penjenayah cuba serang polis ditembak

BESUT: Seorang penjenayah cedera parah ditembak setelah cuba menyerang dua anggota polis dengan menggunakan parang dalam satu kejadian dekat Kampung Derdap, Pasir Putih, Kelantan pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi itu, seorang anggota polis turut cedera di bahagian tangannya akibat pergelutan dengan penjenayah berkenaan.

"Dua anggota polis dari IPD Besut yang sedang menjalankan rondaan di kawasan Kampung Padang Luas, Jerteh terserempak dengan sebuah lori yang dinaiki oleh dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Dua anggota berkenaan kemudian telah mengekori lori seberat tiga tan itu sejauh 15 kilometer sehingga sampai di laluan Kampung Derdap, Gaal, dan apabila sampai di sana, lori berkenaan gagal meneruskan perjalanannya setelah tersangkut di pembahagi jalan," katanya pada sidang media bersama Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, DSP Mohd Kamal Zainal di sini pada Ahad.

Katanya, dua penjenayah berumur 35 dan 26 tahun itu kemudian keluar dari kenderaan itu dan melarikan diri dengan membawa dua bilah parang.

"Setelah dikejar sejauh 20 meter, tiba-tiba kedua-dua penjenayah itu telah bertindak menyerang dua anggota polis tersebut menyebabkan salah seorang anggota kita telah melepaskan tembakan hingga mengenai bahu dan peha salah seorang dari penjenayah itu," katanya.

Katanya, kedua-dua penjenayah itu akhirnya berjaya diberkas dengan bantuan anggota polis dari IPD Pasir Putih yang datang membantu.

Siasatan awal mendapati kedua penjenayah itu dikehendaki polis kerana dipercayai terlibat dengan beberapa kes jenayah pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar daerah Besut dan Pasir Putih.

Katanya, penjenayah berumur 35 tahun yang cedera itu kini dirawat di Hospital Universiti Sains Kubang Kerian, Kota Bahru. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain