suria

Pasukan siasatan laporan audit bukti kerajaan serius tangani isu penyelewengan - Koh

KUALA LUMPUR: Penubuhan Pasukan petugas peringkat tinggi untuk menyiasat laporan Ketua Audit Negara 2008 menunjukkan keseriusan kerajaan dalam menangani sebarang bentuk penyelewengan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Koh, yang juga presiden Gerakan, berkata beliau menyokong penubuhan pasukan itu yang diketuai Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyiasat kesemua perkara yang dibangkitkan di dalam laporan itu.

"Saya fikir kita perlu lebih telus seperti ini, kita perlu membongkar semua salah laku dan mereka perlu menyiasat... apa yang menyebabkan berlaku salah laku ini dan siapa yang harus bertanggungjawab.

"Kita tidak boleh terus menyalahkan sesiapa tanpa melalui satu proses penyiasatan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan oleh Perdana Menteri di sini pada Ahad.

Koh berkata laporan itu juga akan disemak oleh Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC).

Koh berkata penubuhan pasukan itu penting sebagai sebahagian daripada program transformasi kerajaan yang mahu memastikan ketelusan dalam pentadbiran negara tanpa berselindung terhadap sebarang bentuk penyelewengan yang berlaku.

"Penubuhan pasukan itu menunjukkan tekad dan dedikasi kerajaan untuk melakukan sesuatu mengenai perkara itu," katanya.

Jumaat lepas, kerajaan menubuhkan pasukan petugas peringkat tinggi, untuk menyiasat laporan Ketua Audit Negara 2008 dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka bertanggungjawab bagi penyelewengan kewangan dan salah guna kuasa yang disebut dalam laporan itu.

Pasukan petugas itu akan turut dianggotai Ketua Setiausaha Kementerian kewangan Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam dan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang sendiri.

Pasukan itu turut diberikan kuasa untuk meminta bantuan daripada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia jika perlu berbuat demikian. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain