suria

Malaysia tidak ada rakyat kelas dua atau satu - Muhyiddin

PORT DICKSON: Malaysia tidak mempunyai rakyat daripada golongan kelas kedua atau satu seperti di sesetengah negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia juga tidak mempunyai rakyat yang terpencil dan sengaja dipinggirkan malahan konsep kesatuan dalam pelbagai bentuk kaum, budaya dan agama ini merupakan satu intipati kepada gagasan 1Malaysia.

"Ini merupakan komitmen kerajaan dalam menunaikan tanggungjawab pada rakyat berdasarkan prinsip keadilan untuk semua yang berdasarkan pada perlembagaan dan Rukunegara," katanya ketika berucap di majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2009 di Ladang Siliau dekat sini Ahad.

Kira-kira 8,000 orang menghadiri majlis yang penuh keceriaan Deepavali termasuk Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu.

Muhyiddin berkata 1Malaysia membuktikan kaum-kaum yang berlainan agama dan budaya dapat bersatu padu dalam ikatan yang erat dan kukuh.

"Walaupun kita akui ada ketikanya kita berselisih faham dalam beberapa perkara tetapi ini tidak seharusnya menjejaskan perpaduan," katanya.

Muhyiddin, yang mengibaratkan perpaduan kaum di negara ini seperti pepatah Melayu "carik carik bulu ayam akhirnya bercantum juga", turut mengajak rakyat melupakan perbezaan pendapat dan sudah pasti jika rakyat bersatu, titik persamaan di antara mereka akan bertemu.

Timbalan Perdana Menteri berkata gagasan 1Malaysia, yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sudah mula diterima baik rakyat dan meresap ke jiwa mereka.

Katanya kebajikan rakyat baik di luar bandar dan di bandar tetap dipelihara dengan pelbagai inisiatif disediakan untuk semua kaum termasuk masyarakat India.

"Mulai sekarang kita jadikan negara Malaysia sebagai contoh berjayanya perpaduan di dunia... dengan cara itu kita akan dapat bekerja untuk terus memajukan Malaysia dan negara ini akan dapat catat sejarah sebagai negara yang berjaya menyatupadukan pelbagai keturunan dan bangsa," katanya.

"Terbukti majlis rumah terbuka Deepavali hari ini merupakan satu aktiviti keberhasilan utama bagi mencapai matlamat untuk jadikan Malaysia negara maju dan makmur," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain