suria

Kereta Solar Ranger UNITEN lepasi halangan 3,021km rentasi Australia

ADELAIDE: Kejayaan pasukan kereta solar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) menamatkan 3,021 km cabaran solar sedunia merentasi benua Australia "bukan misi biasa".

Ini kerana pasukan Solar Ranger bermula dengan kerosakan teknikal tidak dijangka dan ia juga penyertaan pertama UNITEN dalam perlumbaan kereta solar daripada Darwin ke Adelaide.

Namun dalam kekurangan itu, Solar Ranger yang asalnya merupakan projek 10 pelajar Kolej Kejuruteraan UNITEN dibantu lima pensyarah mampu mengibar Jalur Gemilang di Victoria Square, Adelaide, dalam masa ditetapkan.

Di bawah terik matahari, Solar Ranger dengan badan tertera logo "1Malaysia" tiba di Victoria Square yang terletak di tengah-tengah bandar pukul 11.40 pagi Sabtu, disambut meriah dengan laungan `Malaysia Boleh' oleh rakyat Malaysia yang datang beberapa jam awal.

Sebelum Solar Ranger sampai ke garisan penamat lebih kurang sedozen kereta solar yang bertanding telah menamatkan cabaran, termasuklah tiga pemenang iaitu Tokai Challenger dari Jepun (tempat pertama), diikuti Nuna5 dari Belanda dan Infinium dari Amerika Syarikat.

Menariknya, keupayaan Solar Ranger tiba sebelum pukul 12 tengah hari mengatasi beberapa pasukan lebih ternama antaranya Stanford University yang berpengalaman bertanding dalam World Solar Challenge.

Pasukan universiti ternama dari Amerika Syarikat itu tiba sebagai peserta tercorot di garisan penamat kerana jauh melepasi "tempoh akhir" ditetapkan penganjur.

Malah sebelum perlumbaan itu bermula Ahad lepas dari Rumah Parlimen Darwin, dua daripada 32 pasukan terpaksa menarik diri kerana masalah teknikal. Kedudukan rasmi UNITEN adalah di tangga ke-22.

"Kita berjaya tamatkan lebih 3,000km perjalanan dengan 250km "sun kilometer" dalam cubaan pertama ini," kata pengurus pasukan prof madya Halil Hussain kepada Bernama sejurus tiba di Victoria Square.

"Sun kilometer" ialah jarak kereta solar di atas jalan dengan selebihnya dibawa atau ditarik treler untuk sampai di 10 tempat pemeriksaan yang ditetapkan sepanjang perlumbaan kereta solar itu.

Adalah menjadi kebiasaan bagi pasukan kali pertama bertanding mendapat perjalanan solar rendah kerana kurang pengalaman dari segi strategi dan logistik.

Misalnya, UNITEN menggunakan treler untuk mengangkut Solar Ranger ketika pasukan lain menunda kereta lumba masing-masing membolehkan kereta solar dicaj ketika ia tidak dipandu.

"Merentasi 3,000km perjalanan menggunakan kuasa solar bukan misi biasa. Ini satu kejayaan," Mohd Shahrul Azili Ismail.

Selaku krew yang bertanggungjawab menyusun strategi dan penggunaan kuasa kereta solar itu, tugas Shahrul memastikan Solar Ranger mempunyai 40 peratus kuasa mencukupi untuk bergerak setiap hari dan tidak mangalami masalah.

Selain bateri kereta rosak ketika dalam perjalanan udara, dari Sydney ke Darwin, sistem jajarannya turut mengalami nasib sama menyebabkan pasukan itu terpaksa bertungkus-lumus 24 jam sehari bagi memastikan Solar Ranger kekal dalam perlumbaan itu.

"Lebih penting jaga nama negara bukan nama kami," kata Aziz Suhaimi, pemandu Solar Ranger ketika ditemui Bernama di Litar Hidden Valley di Darwin, pada ujian dinamik cabaran itu, Sabtu lepas.

Tidak dinafikan, ujian dinamik adalah saat paling getir bagi pasukan UNITEN, lebih-lebih lagi dengan 48 jam sahaja masa yang dapat digunakan untuk membaiki kerosakan dan memastikan kenderaan solarnya mencatatkan kelajuan minimum 50km sejam dan dapat melepasi ujian brek dan kestabilan.

"Ia merupakan saat-saat yang mencabar," kata Edmund Ti Wee Kiat, 22, pemandu Solar Ranger selepas menerima plet "SUN 10" -- nombor pendaftaran simbolik selepas lulus ujian dinamik.

Tiga daripada keseluruhan 35 pasukan menyertai cabaran itu tahun ini tidak dapat melepasi ujian tersebut.

Sepanjang 3,021 km perjalanan dari Darwin ke Adelaide, Solar Ranger hanya mampu bergerak dengan kelajuan maksimum 60km sejam sahaja berbanding kemampuan asalnya 110km sejam yang dicatatkan di Putrajaya.

Ini kerana sel solar 'Emcore' yang menggunakan teknologi tinggi dengan 27 peratus kadar resapan solar telah rosak dan terpaksa diganti dengan sel solar biasa menyebabkan berat kereta solar itu bertambah kepada 400kg daripada 240kg.

Perubahan sel solar itu juga menyebabkan Solar Ranger tidak lagi aerodinamik.

Prof Dr Hideki Kimura dari Tokai University, Jepun, pasukan juara keseluruhan bagi cabaran solar itu mengakui berat mempengaruhi kelajuan kereta solar untuk bergerak jauh.

"Kereta solar menggunakan tenaga yang jika ia ringan," kata Hideki yang mengakui sokongan penaja yang ramai menyumbang kepada kejayaan universiti itu mencatat rekod baru cabaran itu dengan menamatkan perjalanan dalam tempoh kurang 30 jam.

Kelajuan maksimum Tokai Challenger adalah 120km sejam dengan kelajuan purata 100km sejam.

Berbanding UNITEN yang mendapat tajaan tunggal daripada Tenaga Nasional Berhad (ekoran permohonan penajaan dari syarikat lain tidak mendapat sambutan), hampir setiap bahagian kereta solar negara matahari terbit itu termasuk tayar, bateri dan sel solarnya ditaja tidak kurang 10 syarikat ternama Jepun.

Begitu juga pasukan kereta solar "Heliox" dari Switzerland, kereta solar keluarga Dominic de Vries, yang menerima tidak kurang daripada 10 penaja, termasuk saudara dan kenalan.

Sepanjang tujuh hari perlumbaan itu, setiap pasukan diwajibkan sampai di 10 tempat pemeriksaan melibatkan kawasan Katherine, Dunmarra, Tennant Creek, Barrow Creek, Alice Springs, Kulgera, Coober Pedy, Glendambo, Port Augusta dan Adelaide.

Mengambilkira kekurangan dan cabaran dilalui itu, rakyat Malaysia boleh berbangga dengan pencapaian pasukan UNITEN menamatkan perlumbaan tanpa sebarang kemalangan namun post-mortem harus dilakukan segera sekiranya universiti itu berhasrat menyertai cabaran itu pada masa depan.

Pasukan universiti itu dianggotai Mohd Shahrul Azili Ismail, Yaw Chong Tak, Sheila Yong Shun Wen, Abdul Hadi Abdul Ghani, Mohd Syafiq Khasmani, Aziz Suhaimi, Muhamad Zulfadly Hakim, Mohd Mazlan Abu Naim, Suhaidan Sadirin dan Edmund Ti Wee Kiat.

Selain Halil, pensyarah dalam pasukan itu ialah Prof Madya Ismail Saad, Prof Madya Dr Mohd Azree Idris, Dr Amir Hisham Hashim dan Dr Ramli Jaya, yang dijadual pulang ke Malaysia 7 Okt ini.

Perlumbaan kereta solar yang dianjurkan dua tahun sekali oleh Government of South Australia, Northern Territory Government dan Internode itu bertujuan mempromosikan teknologi automotif mesra alam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain