suria

Kastam Negeri Sembilan rampas rokok bernilai RM235,000

SEREMBAN: Kastam Diraja Negeri Sembilan menggagalkan cubaan menyeludup 11,750 karton rokok putih jenama Texas 5 bernilai RM235,000 yang dimuatkan dalam sebuah lori di Kampung Bukit Kuin, KM17, Jalan Kuantan-Sungai Lembing, di Kuantan pada semalam.

Pengarahnya Mohd Kassim Ismail berkata cukai rokok yang terlibat dianggarkan RM1.1 juta.

Beliau memberitahu sidang akhbar di Wisma Kastam di sini pada Ahad, dalam operasi menyekat sistem penghantaran barangan seludup kira-kira 5.15 pagi, anggota pasukan Kastam berjaya memintas lori berkenaan yang menghala ke Kuantan setelah dikejar sejauh 4 kilometer.

"Bagaimanapun pemandu lori tersebut berjaya melarikan diri ke dalam belukar yang berhampiran dengan meninggalkan lorinya sebaik sahaja menyedari pihak kastam hampir berjaya memintasnya," katanya.

Mohd Kassim berkata pemeriksaan mendapati lori itu dimuatkan dengan 11,750 karton rokok putih berjenama Texas 5. Siasatan juga mendapati kesemua rokok itu tidak mempunyai tanda 'security ink' atau setem cukai pada kotaknya yang bermakna kesemua rokok itu belum mendapat lulus kastam.

"Syarikat atau individu yang dikenal pasti terlibat dengan penyeludupan ini boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali nilai barangan dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barangan atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penyeludupan boleh menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat kastam yang berdekatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain