suria

Tiga maut, tiga cedera parah dalam kemalangan tiga kenderaan

KAMPAR: Tiga terbunuh, tiga cedera parah, manakala tujuh lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di KM40.2, Jalan Ipoh-Teluk Intan dekat Mambang Di Awan, di sini, malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Abdul Aziz Salleh berkata mereka yang terbunuh ialah penumpang van Halimah Hashim, 30, dari Ulu Kinta, Ipoh, pemandu kereta Cheong Ah Chong, 49, dan penumpang kereta yang dipandu Cheong, Mah Ah Kam, 42.

Kedua-duanya dari Taman Pelangi, Langkap, Teluk Intan.

Ketiga-tiga mereka meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat, katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Aziz berkata tiga yang cedera parah ialah suami Halimah, Norazmi Baharuddin, 36, dan dua lagi penumpang kereta Cheong iaitu Cheong Kian Onn, 35 dan Wong Weng Lam, 32, yang juga dari Taman Pelangi. Mereka dirawat di hospital yang sama.

Sementara enam lagi penumpang dalam van yang dipandu Norazmi iaitu empat anaknya dan dua saudaranya hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital berkenaan, katanya.

Pemandu sebuah lagi kereta yang terbabit dalam kemalangan itu pula hanya cedera ringan, katanya.

Katanya siasatan awal polis mendapati kemalangan kira-kira 8.50 malam itu berlaku apabila kereta yang dipandu Cheong dari Langkap ke Ipoh dikatakan gagal dikawal lalu memasuki laluan kanan dan bertembung dengan van yang dipandu Norazmi dari arah bertentangan.

Sebuah kereta yang berada di belakang van itu tidak sempat mengelak dan merempuh belakangnya, katanya.

Semasa kejadian Norazmi, seorang anggota Pasukan Gerak Am (PGA) Ulu Kinta dan keluarganya dalam perjalanan dari Ipoh ke Kampar, katanya.

Aziz berkata anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kampar membantu mengeluarkan mangsa-mangsa yang tersepit di antara van dan kereta itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain