suria

Laporan siasatan jambatan gantung runtuh siap dalam dua minggu

IPOH: Laporan siasatan kejadian jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, Kampar, yang mengorbankan tiga kanak-kanak sekolah Isnin lepas dijangka dapat disiapkan dalam tempoh dua minggu jika segalanya berjalan lancar, kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata hasil siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tindakan selanjutnya.

"Ada dua perkara kita beri tumpuan, yang pertama bagaimana kejadian itu boleh berlaku dan kedua, apakah tindakan-tindakan selanjutnya supaya perkara ini tidak berulang. Kita harap akan datang tidak berlaku lagi dengan (adanya) cadangan-cadangan yang kita buat nanti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa itu di Jabatan Pelajaran Perak di sini pada Sabtu.

Katanya jawatankuasa siasatan berkenaan turut dianggotai Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri Perak Mohd Zahir Abdul Khalid, Pengarah Jabatan Kerja Raya Perak Datuk Dr Safry Kamal Ahmad, Ketua Polis Daerah Kampar Supt Abdul Aziz Salleh serta tiga wakil kementerian iaitu Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Timbalan Ketua Setiausaha dan Penasihat Undang-undang Kementerian Pelajaran.

Dalam kejadian di Pusat Kokurikulum, Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan, Kuala Dipang itu, N. Dina Dewe Nathan, 11, Diryasree Vasudevan, 12, dan Davadharshini Maheswaran, 11, lemas selepas jambatan gantung yang baru disiapkan kira-kira sebulan lepas runtuh dalam kejadian pukul 10.30 malam.

Ketiga-tiga mangsa itu adalah antara 298 murid dari 64 sekolah rendah dari Tronoh, Batu Gajah dan Kampar yang menyertai perkhemahan 1Malaysia di pusat berkenaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain