suria

'Tokong Datuk' bukan rumah ibadat

SHAH ALAM: Struktur yang dikenali sebagai "tokong datuk" yang dirobohkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 21 Oktober lepas bukannya rumah ibadat sebaliknya hanya berupa struktur yang dijadikan tempat berjudi dan pemujaan untuk ramalan nombor ekor oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Datuk Bandar Shah Alam Mazalan Md Noor ketika memberikan penjelasan mengenai perkara itu mengingatkan pihak tertentu supaya tidak mempolitikkan isu itu kerana ia boleh menimbulkan salah faham.

Tindakan perobohan struktur haram itu di Jalan Persiaran Kerjaya, Glenmarie, Seksyen U1, dekat sini oleh MBSA adalah mengikut prosedur termasuk mengeluarkan notis, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuaratbulanan MBSA di sini hari ini.

"Malah ia bukan rumah ibadat mana-mana agama sebaliknya dijadikan tempat untuk berjudi dan pemujaan untuk mendapatkan nombor ramalan oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Mazalan berkata struktur itu juga dibina di atas tanah milik Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Petaling tanpa kebenaran.

Semalam, kerajaan negeri menyalahkan MBSA kerana merobohkan struktur itum tanpa merujuk kepada Exco kerajaan yang terbabit sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati beberapa pihak.

"Kami berada dalam keadaan serba salah, kami hanya menjalankan tugas dan apa yang dirobohkan bukanlah rumah ibadat seperti yang didakwa sesetengah pihak," kata Mazalan.

Katanya operasi merobohkan struktur itu dibuat mengikut Seksyen 70 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. BERNAMA

Artikel Lain