Pasukan khas akan siasat laporan Ketua Audit Negara - Semasa | mStar

Pasukan khas akan siasat laporan Ketua Audit Negara

PUTRAJAYA: Kerajaan telah menubuhkan pasukan petugas peringkat tinggi, diketuai Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan, untuk menyiasat laporan Ketua Audit Negara 2008 dan mengambil tindakan yang sesuai terhadap mereka yang bertanggungjawab bagi penyelewengan kewangan dan salah guna kuasa yang disebut dalam laporan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penubuhan pasukan petugas itu diluluskan oleh Kabinet, yang bermesyuarat hari ini, dan selaras dengan usaha kerajaan untuk merealisasikan budaya prestasi tinggi dalam perkhidmatan awam.

"Kabinet memandang serius laporan itu dan telah memutuskan sebuah pasukan petugas ditubuhkan untuk menyiasat penyelewengan kewangan yang disebut dalam laporan itu.

Jawatankuasa bukan sahaja akan menyiasat penyalahgunaan kuasa dan mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati terlibat dalam penyelewengan kewangan itu tetapi juga mengambil tindakan pentadbiran terhadap mereka yang didapati bersalah tetapi tidak boleh didakwa di mahkamah atas pelbagai sebab," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya.

Pasukan petugas itu akan turut dianggotai Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam dan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang sendiri.

Mereka malahan diberikan kuasa untuk meminta bantuan daripada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia jika perlu berbuat demikian, katanya.

"Saya mahu tekankan di sini bahawa kami bukan berniat untuk mencari kesalahan sesiapa, tetapi kami hanya mahu memastikan mereka yang melakukan kesalahan tidak terlepas. Kami akan menggunakan undangundang terhadap mereka yang didapati terlibat dalam penyelewengan tetapi jika terdapat kes yang kami tidak boleh bawa ke mahkamah, kami akan gunakan tindakan pentadbiran seperti diturunkan pangkat atau dipindahkan," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata tindakan yang diambil akan dilakukan secara adil dan akan turut mengambil kira semua faktor dan keadaan.

"Kami juga akan memberikan peluang yang adil untuk mereka yang berkenaan untuk mempertahankan diri. Pasukan petugas akan diberikan kuasa untuk memanggil siapa sahaja yang difikirkan sesuai untuk memberi keterangan kepada pasukan petugas.

"Kami juga mahu menunjukkan bahawa malahan mereka yang berada dalam sistem pentadbiran kerajaan juga tidak akan terlepas jika mereka telah mengeluarkan arahan yang salah kepada kakitangan bawahan.

"Kabinet berpendapat tindakan perlu diambil kerana kami tidak mahu kesilapan berulang setiap tahun dan hanya dipaparkan dalam laporan Ketua Audit Negara tanpa sebarang tindakan serius diambil terhadap pelaku kesalahan," kata Najib, yang juga Menteri Kewangan.

Perdana Menteri berkata pasukan petugas akan mengadakan mesyuarat pertama pada Isnin dan meneliti laporan secara berperingkat mengikut kes demi kes.

Beliau menegaskan kerajaan komited untuk mengambil tindakan tegas terhadap kakitangan awam yang menyalahgunakan kuasa ketika berkhidmat.

"Saya tahu kami tidak boleh mencapai sifar penyelewengan tetapi kami boleh mengurangkan perbuatan seperti itu," katanya.

Perdana Menteri berkata dalam pada kerajaan mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan ketika berkerja dalam perkhidmatan awam, kerajaan juga akan memberikan ganjaran kepada mereka yang menjalankan kerja dengan cemerlang.

"Kami bukan hanya mengambil tindakan untuk menghukum tetapi juga memupuk budaya prestasi tinggi di mana mereka yang menjalankan kerja dengan cemerlang akan diberikan ganjaran," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

CPA Australia platform berkualiti, pantas capai kelayakan perakaunan diiktiraf global

JIKA anda mempunyai kelayakan yang sewajarnya dalam industri perakaunan, perbankan dan kewangan, ia boleh memberikan prospek kerja dan kepelbagaian projek kepada anda.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

Artikel Lain