suria

Mahkamah beri kebenaran kepada 27 Orang Asli bagi semak keputusan JAS

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memberi kebenaran kepada 27 Orang Asli untuk mendapatkan semakan keputusan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) meluluskan Laporan Kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek pembinaan Empangan Kelau, Raub, Pahang.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin membuat keputusan itu dalam kamar selepas menolak bantahan awal Peguam Kanan Persekutuan Azizah Nawawi, bagi pihak JAS, yang berhujah permohonan semakan kehakiman itu difailkan selepas tamat tempoh masa.

Pendor Anger, 36, dan 26 plaintif lain dari suku kaum Senoi dan Temuan, memfailkan permohonan pada 9 Oktober 2007 di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi dengan menamakan Ketua Pengarah JAS, kerajaan Pahang dan Malaysia sebagai responden.

Mereka mendakwa tanah yang terbabit dalam projek itu adalah tanah turuntemurun dan telah mewarisinya sejak zaman nenek moyang mereka untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga.

Mereka turut mendakwa bahawa laporan EIA tidak menepati Garis Panduan Penilaian Kesan Alam Sekitar Bagi Pembinaan Empangan oleh JAS.

Kumpulan pemohon itu berkata laporan EIA itu adalah sangsi kerana ia gagal meliputi kajian terperinci dan berpatutan mengenai kesan ke atas hidupan liar serta gagal memberi data dan penilaian alam sekitar bagi kawasan yang terjejas itu.

Mereka juga mendakwa mereka tidak tahu mengenai laporan EIA berkenaan yang diluluskan oleh kerajaan pada 24 April, 2001, sehingga diberitahu oleh peguam mereka.

Selain itu, mereka juga memohon satu deklarasi bahawa tindakan responden meluluskan projek empangan itu telah mengingkari kewajipan fidusiari untuk melindungi, memajukan dan memelihara kebajikan Orang Asli di negara ini.

Mereka turut menuntut kos dan lainlain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Kumpulan pemohon itu diwakili oleh peguam Kamarul Hisham Kamaruddin. BERNAMA

Artikel Lain