suria

ISA: Majlis Peguam perlu teliti lima perkara - Hishammuddin

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Majlis Peguam perlu meneliti terlebih dahulu lima perkara yang sering menjadi pertikaian membabitkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum meminta akta itu dihapuskan.

Beliau berkata sekiranya lima perkara itu dapat memenuhi kebimbangan mereka melalui pindaan akta tersebut, maka akta baru tidak perlu digubal.

Katanya secara keseluruhan, beliau berpuas hati dengan pertemuan yang diadakan dengan beberapa pihak sebelum ini berhubung cadangan pindaan ke atas ISA.

"Jadi dalam hal ini, sesi kita untuk berjumpa dengan pihakpihak berkenaan, merupakan satu pendekatan yang baik dan membawa hasil yang membantu daripada kita membuat pendirian yang beremosi atau berdemonstrasi di tengahtengah jalan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pasca-kabinet peringkat kementerian di sini hari ini.

Lima perkara itu ialah membabitkan soal tempoh tahanan, layanan ke atas tahanan dan nasib ahli keluarga mereka, kuasa menteri, persepsi tentang penyalahgunaan ISA bagi kepentingan politik dan penahanan tanpa bicara.

Kementerian Dalam Negeri sebelum ini telah mengadakan lima sesi pertemuan awam melibatkan agensi-agensi penguatkuasa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakarpakar akademik, pengamal undang-undang, ahli politik, ahli Parlimen serta individu.

Semalam, dalam pertemuan awam Hishammuddin dengan beberapa pihak termasuk Majlis Peguam, majlis itu tetap dengan pendiriannya mahu ISA dihapuskan dan satu akta baru dibentangkan di Parlimen.

Hishammuddin berkata draf pindaan akta itu kini di peringkat akhir dan cadangan daripada pelbagai pihak berhubung pindaan akta tersebut masih dialu-alukan.

Sementara itu, beliau berkata kira-kira 80 peratus permohonan membabitkan kewarganegaraan, pendaftaran lewat kelahiran dan pemastautin tetap (PR) telah dapat diselesaikan dan selebihnya akan diselesaikan sebelum hujung tahun ini.

Bulan lalu, 70 peratus daripada 143,099 permohonan membabitkan taraf kewarganegaraan, permit masuk dan pendaftaran lewat sijil kelahiran yang tertunggak sehingga Januari lalu telah siap diproses.

Permohonan paling banyak diterima adalah pendaftaran lewat sijil kelahiran melibatkan 93,360 permohonan manakala taraf kewarganegaraan adalah 32,927 permohonan dan 16,812 permohonan untuk permit masuk. BERNAMA

Artikel Lain