suria

Polis tumpaskan sindiket ekor haram

PULAU PINANG: Polis menumpaskan sindiket nombor ekor haram membabitkan pertaruhan kira-kira RM3.6 juta sebulan apabila menahan tiga lelaki dan tiga wanita dalam serbuan di sebuah kedai di Bukit Mertajam, dekat sini semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata kesemua mereka yang ditahan dalam operasi pada pukul 6.50 petang itu berusia antara 22 dan 44 tahun.

"Ketika serbuan, kesemua mereka sedang leka mengira dan mencatat nombor ekor haram. Mereka menjalankan kegiatan itu di sebuah bilik yang diubahsuai bagi mengelak dikesan polis," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata polis merampas semua peralatan dan kelengkapan yang digunakan untuk kegiatan itu termasuk 233 keping kertas disyaki loteri haram, empat set komputer riba, tiga mesin faks, mesin kira dan telefon bimbit.

Ayub berkata berdasarkan senarai rekod pelanggan yang dirampas, sindiket terbabit didapati menjalankan kegiatan itu tiga atau empat hari seminggu dan mempunyai pelanggan di sekitar Bukit Mertajam dan Kulim. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain