suria

Polis tahan 20 warga asing tanpa dokumen sah

PETALING JAYA: Seramai 20 orang warga Indonesia dan Bangladesh termasuk dua wanita ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah atau memiliki dokumen yang meragukan dalam satu operasi di sini awal pagi tadi.

Ketua Balai Polis Sea Park Cif Inspektor Mohd Sahar Mohd Yunus berkata mereka ditahan dalam serbuan Operasi Bersepadu Cegah Jenayah selama dua jam yang melibatkan dua blok Flat Damansara Bistari dan kawasan kongsi Seksyen 19 di sini yang bermula kira-kira 12.30 pagi.

Dalam operasi itu, polis telah memeriksa 127 warga asing dari Indonesia dan Bangladesh dan menahan 15 orang daripada mereka kerana tidak memiliki sebarang dokumen manakala lima lagi memiliki dokumen yang meragukan, katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut di sini pagi tadi.

"Kesemua tahanan akan dihantar ke depot tahanan imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini," katanya.

Mohd Sahar berkata operasi sedemikian akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi mencegah kegiatan jenayah di tempattempat yang dipercayai menjadi sarang persembunyian pendatang asing tanpa izin (PATI) di sekitar Petaling Jaya.

Selain itu, pemeriksaan sebanyak 25 buah kenderaan turut dijalankan dan didapati semua kenderaan mematuhi peraturan jalan raya.

Operasi bersepadu itu melibatkan Polis Diraja Malaysia Daerah Petaling Jaya, Unit Udara Polis, Pasukan Gerak Am dan Jabatan Imigresen. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain