suria

Polis selamatkan lelaki dikurung ah long di hotel bajet

PULAU PINANG: Seorang lelaki yang dipercayai dikurung ah long di beberapa hotel bajet di negeri ini berjaya diselamatkan polis selepas adik perempuan lelaki berkenaan membuat laporan polis Selasa lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata adik mangsa membuat laporan itu kira-kira pukul 4 petang selepas abangnya yang berusia 38 tahun tidak pulang ke rumah sejak seminggu lepas.

"Berdasarkan laporan, sepasukan polis menyerbu sebuah hotel di Jalan Anson di sini dan menemui mangsa bersama seorang lelaki berusia 20-an yang dipercayai ah long," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan siasatan lelaki berkenaan dikurung di beberapa buah hotel di sekitar George Town di sini selepas gagal membayar hutang ah long sebanyak RM400,000.

Mangsa juga mengaku meminjam wang sebanyak RM900,000 dengan sembilan ah long lain dan gagal membayarnya, katanya.

"Semasa di dalam bilik hotel mangsa tidak dicederakan dan juga tidak diugut, bagaimanapun pergerakkannya dikawal oleh lelaki yang bersamanya itu," katanya.

Ayub berkata siasatan awal polis mendapati lelaki berasal dari Perak yang ditahan polis itu mempunyai rekod terlibat dalam kegiatan pinjaman wang haram dengan sindiket di Johor.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain