suria

Polis batal permit majlis deeparaya guna nama PPP

KUALA LUMPUR: Polis membatalkan permit penganjuran majlis berkonsepkan 1Malaysia sempena perayaan Deeparaya yang menggunakan nama Parti Progresif Penduduk, (PPP), esok.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata pihaknya membatalkan permit majlis yang akan diadakan di Dewan Sri Ampang, Taman Sri Watan, di sini berikutan aduan beberapa pihak yang menyatakan anjuran majlis itu tidak mendapat kebenaran PPP.

"Sekiranya pihak penganjur mahu juga mengadakan majlis berkenaan berikutan tempahan makanan telah dibuat, kita minta mereka mengubah nama majlis berkenaan kepada nama lain dan bukannya atas anjuran PPP," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Jalil berkata polis akan tetap berkawal sepanjang majlis itu berlangsung sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Tengah hari tadi, dua laporan polis dibuat di Balai Polis Ampang untuk membatalkan permit berhubung penganjuran majlis itu oleh Ketua Bahagian PPP Ampang Thajudeem NMR Noor Mohideen dan Ketua Wanita PPP Selangor Siti Salmiah Ismail. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain