suria

MIED dan Universiti Aimst kekal bersama MIC - Samy Vellu

KUALA LUMPUR: Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu hari ini memberi penerangan kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu berhubung isu berkaitan perundangan serta pemilikan, Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dan Universiti Aimst.

"Saya sampaikan taklimat penuh mengenai penubuhan, pengurusan dan hubungan yang tidak boleh dipisahkan antara keduadua entiti itu dengan MIC," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan beliau selepas mempengerusi mesyuarat CWC MIC yang berlangsung selama kira-kira tiga jam di ibu pejabat parti itu di sini hari ini.

Katanya beliau memberitahu anggota CWC bahawa walaupun MIED dan Universiti Aimst di Semeling, Kedah, merupakan entiti berasingan daripada MIC, tidak ada individu ataupun pemimpin MIC yang menjadi pemilik kepada keduadua entiti itu.

"Pemilikan antara MIC dan MIED akan menjadi hubungan yang berkekalan, dan ia akan menjadi sebahagian daripada MIC," katanya semasa merujuk kepada tuduhan Datuk S.Subramaniam bahawa Samy Vellu berhasrat untuk merampas MIED dan Universiti Aimst.

Subramaniam yang kalah kepada Datuk G.Palanivel untuk jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti 12 September lepas sebelum ini dilaporkan membuat tuduhan itu sebagai respons terhadap kenyataan Samy Vellu dalam portal berita online bahawa MIED dan Universiti Aimst adalah entiti yang berasingan daripada MIC.

Dalam kenyataan hari ini Samy Vellu berkata pemegang amanah dan anggota lembaga MIED terdiri daripada mereka yang memiliki jawatan penting dalam MIC, sekaligus mengukuhkan lagi hubungan antara MIED dan MIC.

"MIC menerusi MIED akan bekerjasama rapat ke arah mencapai objektif pendidikan dan wawasan parti dalam kedudukannya sebagai badan pendidikan parti," katanya.

Beliau berkata anggota CWC bersetuju bahawa MIED dan Universiti Aimst adalah entiti berasingan dengan MIED ditubuhkan sebagai syarikat berhad.

Beliau turut menggesa semua anggota MIC supaya menganggap keduadua institusi itu sebagai pertubuhan milik mereka sendiri yang dikendalikan oleh kumpulan yang dilantik mereka.

"Tidak ada pemegang amanah MIED menjadi pemilik kepada universiti, oleh itu soal rampasan MIED dan Universiti Aimst tidak timbul," katanya.

Samy Vellu berkata MIED bertindak dengan cemerlang dalam membantu MIC menjaga kepentingan pendidikan komuniti kaum India.

Ia sudah melahirkan 7,000 pelajar sehingga ini manakala 7,000 lagi masih sedang melanjutkan pelajarannya di institusi itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain