suria

Manohara diberi masa sehingga 5 November untuk lantik peguam

KUALA LUMPUR: Isteri dan ibu mertua Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra diberi masa sehingga 5 November depan oleh Mahkamah Tinggi untuk melantik peguam bagi mengelakkan daripada dikenakan penghakiman ingkar dalam kes saman fitnah RM105 juta dikemukakan suaminya.

Peguam Mohd Haaziq Pillay yang mewakili Tengku Muhammad Fakhry, ketika ditemui pemberita berkata tarikh tersebut ditetapkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Shazali Hidayat Shariff di dalam kamar.

"Bagi memberikan keadilan kepada kedua-dua defendan pihak kami meminta mahkamah memberikan masa sehingga 5 November depan bagi mereka melantik peguam.

"Semua dokumen berkaitan dengan kes sudah diserahkan kepada keduadua defendan. Jika mereka masih gagal melantik peguam pada tarikh tersebut maka mahkamah akan mengeluarkan penghakiman ingkar terhadap mereka," katanya.

Haaziq berkata prosiding dalam kamar pada hari ini ialah untuk memastikan bahawa bekas peguam Manohara Odelia Pinot dan ibunya Daisy Fajarina sudah menyerahkan dokumen perintah penarikan diri kepada mereka yang kini berada di Indonesia.

Pada 12 Oktober lalu, mahkamah sama membenarkan permohonan firma guaman Fakrul Hisham Abdullah and Associates menarik diri daripada mewakili defendan isteri dan ibu mertua Tengku Muhammad Fakhry dalam kes saman fitnah tersebut.

Pada 20 Julai lepas, Tengku Muhammad Fakhry mengemukakan saman fitnah RM105 juta terhadap keduadua defendan kerana didakwa memfitnahnya pada sidang akhbar antara April dan Jun lepas.

Selain saman fitnah itu, Manohara dan ibunya juga menghadapi dua lagi saman di Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Baharu yang juga difailkan Tengku Muhammad Fakhry pada 5 Julai lepas bagi menuntut isterinya kembali taat kepadanya dan mengembalikan semula hutang sebelum dan selepas berkahwin RM972,750.

Sehingga kini, Manohara dan Daisy masih belum memfailkan pembelaan mereka terhadap tuntutan saman suaminya di mahkamah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain