suria

Kerajaan diminta pinda Akta Pengubahan Wang Haram

KUALA LUMPUR: Beberapa anggota Parlimen semalam meminta kerajaan supaya meminda Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 bagi mengehadkan kuasa agensi dan pegawai penguatkuasaan untuk menggelakkan kemungkinan berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa.

Datuk Ismail Kasim (BN-Arau) ketika membahaskan Rang UndangUndang Perbekalan 2010 mendakwa terdapat kemungkinan akta itu boleh digunakan untuk menganiaya seseorang dan dilaksanakan secara tidak adil.

"Di bawah akta ini, agensi penguatkuasaan mempunyai kuasa untuk ambil tindakan berdasarkan hanya atas faktor 'munasabah untuk mengesyaki'...sepatutnya di bawah akta ini ditukar kepada 'prima facie'. "Kalau apa yang telah dilaksanakan ini, semua pihak, bukan sahaja anggota Parlimen, tetapi juga Perdana Menteri boleh didakwa di bawah akta ini jika ada pegawai penguatkuasa yang mempunyai niat tidak baik atau dipengaruhi pihak lain," katanya. Beliau juga merujuk kepada Seksyen 50 akta berkenaan, agensi dan pegawai penguatkuasaan antara lain mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah membekukan harta mana-mana orang yang disyaki melakukan kesalahan seberapa lama diperlukan.

"Sekiranya tindakan ini kena kepada mereka yang benar-benar bersalah, tidak apalah, tetapi sekiranya ia kena kepada orang yang tidak bersalah maka ini satu penganiayaan," tegasnya.

Justeru beliau mencadangkan supaya kuasa agensi penguatkuasan itu, khasnya tindakan pembekuan harta diagihkan kepada pihak lain termasuk pihak mahkamah sebagai langkah untuk mengawal tindakan seumpamanya.

Pendapat beliau turut disokong beberapa anggota Parlimen lain termasuk Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) atas dasar 'munasabah dan mensyaki' itu pelbagai andaian boleh dibuat memungkinkan adanya unsur jenayah dan penganiayaan terhadap orang yang disyaki.

Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) turut mendesak kerajaan memperbaiki kepincangan tersebut bagi mengelak wujud rasa sangsi dan ketakutan di kalangan pelabur asing untuk melabur di negara ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain