suria

Kajian akhir tingkat ciri keselamatan pasport Malaysia

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini dalam fasa terakhir kajian bagi meningkatkan ciri keselamatan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) menerusi pelaksanaan standard Badan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Timbalan Menterinya Jelaing Mersat berkata status keselamatan PMA tidak perlu diragui kerana pasport antarabangsa negara ini diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia.

"PMA versi ICAO akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat dan ia seiring dengan keperluan untuk mematuhi piawaian dan spesifikasi pasport antarabangsa seperti yang ditetapkan piawaian spesifikasi ICAO 9303.

"Ia dilihat mampu meningkatkan kualiti pasport Malaysia dan memperkukuh aspek kawalan keselamatan negara," katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) yang ingin tahu sejauh mana jaminan KDN bahawa PMA alternatif yang berharga RM100 mempunyai ciri keselamatan terbaik serta mematuhi standard antarabangsa.

Jelaing berkata kualiti PMA mampu milik berharga RM100 dengan 32 muka surat mempunyai kualiti dan ciri keselamatan yang sama dengan PMA 64 muka surat yang berharga RM600.

"Keduadua jenis PMA itu adalah pasport yang menggunakan teknologi biometrik bercip yang menyamai standard antarabangsa," katanya.

Beliau berkata sebanyak 19,440 PMA mengandungi 32 muka surat yang mempunyai tempoh sah laku sehingga dua tahun dikeluarkan sehingga 6 Oktober lepas selepas diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein 12 September lepas.

Kepada soalan tambahan Abdul Manan yang ingin tahu jumlah kehilangan pasport yang dilaporkan dan kesannya kepada keselamatan negara dan langkah kementerian menanganinya, Jelaing berkata KDN memandang berat kes kehilangan tersebut.

"Laporan yang kita terima jumlahnya ialah 119,255 pasport yang hilang. Pasport yang hilang boleh disalahgunakan untuk kegiatan penyeludupan manusia dan sindiket pemalsuan pasport yang akan menjejaskan nama baik negara," katanya.

Bagi menanganinya ciri keselamatan pasport dan kerjasama dengan pihak antarabangsa dipertingkat, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain