suria

Dua disyaki pencuri mati selepas jatuh dari trak

MIRI: Dua lelaki disyaki pencuri yang bertindak nekad terjun dari sebuah trak yang sedang bergerak laju untuk membawa mereka ke balai polis, maut akibat kecederaan parah yang dialami ekoran kejadian itu.

Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 2 petang semalam di jalan berhampiran sekolah menengah di Jalan Bakam, kira-kira 10 km dari sini apabila pemandu trak yang hanya dikenali sebagai Yong, menyedari kedua-dua lelaki itu jatuh dari kenderaan yang dipandunya.

Bercakap kepada pemberita di tempat kejadian, Yong yang mengusahakan ladang sayur di Sungai Rait dekat Jalan Bakam berkata terdahulu beliau bersama beberapa pekebun menangkap kedua-dua lelaki itu kerana disyaki mencuri kayu di ladangnya.

Beliau berkata keduadua lelaki itu kemudiannya dipaksa menaiki traknya untuk dibawah ke balai polis, namun semasa dalam perjalanan, beliau tersedar yang kedua-dua lelaki itu jatuh dari kenderaannya.

Katanya beliau kemudiannya terus memberhentikan kenderaan, dan selepas diperiksa kedua-dua lelaki itu didapati sudah terbaring kaku di tepi jalan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Miri ACP Jamaludin Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata mayat kedua-duanya sudah dihantar ke hospital Miri untuk dibedah siasat.

Beliau berkata tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada kedua-dua lelaki itu dan polis sedang meneruskan siasatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain