suria

Isu Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen kecohkan sidang Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar hari ini secara sinis menyelar anggota Parlimen pembangkang yang tidak puas hati kerana diketepikan daripada menganggotai Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) yang ditubuhkan di bawah kementerian itu.

Isu itu menyebabkan suasana persidangan Dewan Rakyat pagi ini agak kecoh apabila beberapa anggota Parlimen pembangkang tidak puas hati dengan jawapan Noh yang menjelaskan bahawa hanya anggota parlimen Barisan Nasional (BN) akan dilantik untuk menerajui majlis itu.

"Pembangkang kena faham sebagai menteri yang melantik pengerusi MPPP, pastilah saya akan pilih dari kalangan anggota BN kerana mereka mempunyai dasar dan polisi yang sama seperti kerajaan.

"Kita hendak pastikan duit yang hendak disampaikan kepada rakyat (petani) sampai, pastilah kita akan gunakan jentera kita sendiri...kalau kita lantik (wakil rakyat) pembangkang mungkin dia akan kata duit itu daripada pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) yang bertanya fungsi sebenar MPPP dan mempersoalkan mengapa anggota Parlimen pembangkang diketepikan daripada menjadi anggota majlis berkenaan.

MPPP ditubuhkan di semua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara untuk mengukuhkan pelaksanaan pembangunan industri pertanian negara sehingga ke peringkat akar umbi.

MPPP akan diterajui sama ada oleh anggota Parlimen kawasan, anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) atau Ketua Parti Komponen Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Parlimen pembangkang.

Ia antara lain bertanggungjawab dalam merancang, menyelaras dan memantau program serta projek pertanian di setiap kawasan Parlimen.

Tidak puas hati dengan jawapan Noh, Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) bangun untuk mencelah tetapi dibantah Noh yang menegaskan bahawa apa yang penting bagi kementerian ialah untuk memastikan keperluan rakyat terbela. Turut memanaskan keadaan ialah Datuk Mohamad Abdul Aziz (BN-Sri Gading) yang mencelah dan menyifatkan tindakan sama akan diambil oleh pembangkang sekiranya mereka berkuasa.

Cubaancubaan anggota parlimen pembangkang untuk mempertikaikan perkara itu 'dimatikan' Noh yang mencadangkan supaya pembangkang yang menguasai beberapa negeri dan mempunyai peruntukan sendiri boleh menggunakan peruntukannya untuk membangunkan sektor pertanian di negeri masing-masing dan tidak terlalu mengharapkan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain