suria

Gerakan gesa kerajaan tubuh pasukan petugas Influenza A (H1N1)

KUALA LUMPUR: Gerakan menggesa kerajaan menubuhkan pasukan petugas bagi mengkaji "ciri perilaku" influenza A (H1N1) berikutan banyak negara akan mengalami musim sejuk tidak lama lagi.

Ketua Biro Kesihatan Awam dan Pembangunan Sosial Gerakan Datuk Dr Ng Keong Chye berkata kerajaan juga perlu mengambil langkah proaktif sebagai persediaan menghadapi gelombang kedua wabak itu.

Kerajaan perlu terus mendidik dan menasihatkan orang ramai mengenai penyakit viral itu dengan mereka mesti sentiasa menjaga kebersihan diri seperti kerap membasuh tangan apabila berada di tempat awam, katanya dalam kenyataan semalam.

"Kita tidak boleh alpa, walaupun kini jumlah orang yang dijangkiti penyakit itu semakin menurun," katanya dan menurutnya orang awam perlu mengelak tempat yang sesak dan mereka yang mengalami simptom selesema perlu memakai penutup mulut dan hidung.

Ng berkata sekolah, kolej dan universiti patut dinasihatkan mengambil langkah khas kerana institusi itu paling terdedah kepada penularan wabak itu.

Minggu lepas, Presiden Barack Obama mengisytiharkan H1N1 sebagai darurat di Amerika Syarikat manakala di dalam negara, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan negara sudah membuat persediaan menghadapi gelombang kedua H1N1. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain