suria

Kerajaan cadang tubuh unit khas tangani kes dera pembantu rumah

KUALA LUMPUR: Cadangan penubuhan satu unit khas bagi menangani kes penderaan pembantu rumah yang akan dianggotai oleh beberapa kementerian bakal dibentangkan ke Kabinet.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, unit khas berkenaan diharapkan dapat menyelesaikan beberapa isu berkaitan pembantu rumah.

"Mungkin kejadian ini akan saya bawa ke pengetahuan jemaah menteri. Satu unit khas yang menggemblengkan semua kementerian terlibat dapat diwujudkan.

"Kita harap kes sebegini tidak akan berlaku dan berulang," katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai tindakan yang akan diambil pihak kerajaan berkaitan kes kematian pembantu rumah warga Indonesia, Mantik Hani yang dipercayai akibat didera majikannya.

Mantik, 36, mati di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang semalam, selepas dimasukkan ke hospital itu Selasa lepas.

Tambah Hishammuddin, kerajaan tidak akan berkompromi berhubung kes berkenaan dan akan memastikan tindakan sewajarnya diambil dengan segera.

"Saya tidak akan berkompromi dalam hal sebegini. Soal keselamatan adalah hak semua orang. Bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi siapa sahaja yang berada di Malaysia perlu mendapat perlindungan sewajarnya.

"Saya harap kes ini akan dibawa ke mahkamah secepat mungkin kerana dalam konteks hubungan dua hala dengan Indonesia, ada kepentingan bagi orang ramai untuk melihat perkara atau kes ini dibawa ke mahkamah dan satu keputusan segera dapat diperoleh," katanya.

Dalam pada itu Hishammuddin menegaskan isu kematian pembantu rumah tersebut tidak boleh disifatkan sebagai kelemahan kerajaan secara menyeluruh.

"Dari segi kematian ini mungkin kes pertama. Ini satu perkara yang perlu kita lihat secara menyeluruh kerana jika berdasarkan jumlah pembantu rumah yang berada di negara ini, satu kes ini sebenarnya tidak menggambarkan keadaan secara menyeluruh.

"Saya harap semua pihak memahami bahawa perkara sebegini boleh berlaku kerana ada pihak yang tergamak melakukannya. Tak mungkin kita boleh memantau semua majikan yang ada di sini," katanya.

Menurutnya berdasarkan rekod, terdapat sejumlah 280,000 pembantu rumah warga Indonesia yang bekerja di negara ini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain