suria

Jambatan runtuh, mayat seorang murid perempuan ditemui

KAMPAR: Mayat seorang murid perempuan yang merupakan antara 22 murid yang dikhuatiri dihanyutkan air deras apabila jambatan gantung yang digunakan untuk menyeberang Sungai Kampar runtuh semalam, ditemui hari ini.

Mayat mangsa pertama tragedi membabitkan murid yang menyertai aktiviti kokurikulum perkhemahan itu ditemui berhampiran loji sungai terbabit pada kira-kira pukul 8.30 pagi.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Zakaria Yusof berkata identiti mayat murid perempuan berketurunan India itu belum dikenalpasti.

"Mayat telah dibawa ke Hospital Kampar di sini untuk dibedah siasat," katanya kepada pemberita di kawasan kejadian di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang di sini hari ini.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 10.30 malam tadi, 22 murid dikhuatiri hilang apabila jambatan gantung yang terletak di Pusat Kokurikulum Daerah Kampar dalam kawasan Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang terputus ketika mereka beramai-ramai menggunakannya.

Mereka adalah antara 298 murid dari 60 sekolah rendah dari Kampar, Tronoh dan Batu Gajah yang menyertai aktiviti kokurikulum Perkhemahan 1Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan.

Operasi mencari dan menyelamat melibatkan 222 anggota yang terdiri daripada polis, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Rela, Jabatan Pertahanan Awam dan agensi lain serta penduduk kampung dijalankan sebaik kejadian berlaku.

Zakaria berkata jumlah sebenar mangsa belum diketahui dan polis telah meminta Jabatan Pelajaran mendapatkan maklumat terperinci beserta kesemua nama murid yang menyertai kem perkhemahan itu.

Maklumat awal yang mengatakan 22 murid hilang itu belum dapat dipastikan dan dipercayai jumlah mangsa sebenar adalah kurang daripada itu, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain