suria

Ibu bunuh anak penjara 10 tahun

KOTA BAHARU: Seorang ibu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh bayi lelakinya berusia 10 bulan, dua tahun lepas.

Hakim Mohd Azman Hussin menjatuhkan hukuman itu setelah Bahasniza Abu Bakar, 36, membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan yang dihadapinya.

Mohd Azman menetapkan hukuman penjara itu berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 7 Julai 2007.

Bahasniza dituduh menyebabkan kematian anaknya, Mohammad Asyraf Noor Aswadi dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan, yang mungkin menyebabkan kematiannya.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Kubang Berulat, Gunong, Bachok antara jam 12.30 pagi hingga 3 pagi pada 7 Julai 2007. Bahasniza dituduh melakukan homosid salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Dia diwakili peguam Firdaus Mohd Yusoff dan pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya Wan Azimah Yaakob.

Terdahulu, Firdaus merayu supaya hukuman ke atas anak guamnya diringankan kerana dia mempunyai masalah keluarga yang berpanjangan sejak ibu bapanya bercerai dan dipelihara oleh nenek.

Firdaus berkata tertuduh turut menghadapi tekanan dari aspek kewangan apabila suaminya tiada pekerjaan tetap dan menjaga enam orang anak termasuk bayinya berusia 10 bulan itu.

Beliau berkata suami tertuduh juga terlibat di dalam penyalahgunaan dadah dan terbabit kes jenayah serta menjadi buruan polis.

Malahan, katanya tertuduh mempunyai masalah gangguan mental berdasarkan laporan pakar psikatri Hospital Permai, Johor.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain