suria

Sultan Pahang rasmi pameran Foto Diraja

KUANTAN: Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah semalam berkenan merasmikan pameran Foto Diraja Pahang yang memaparkan foto sepanjang pemerintah baginda sejak ditabalkan pada 1974.

Pameran foto anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bersempena sambutan Hari keputeraan ke-79 Sultan Pahang semalam, diadakan di Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah (Komsas) di sini.

Sultanah Pahang Sultanah Kalsom turut berangkat ke majlis itu yang dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains Teknologi dan Inovasi Negeri Datuk Mohd Sharkar Shamsudin dan Pengurus Besar Bernama Hasnul Hassan.

Ketika berucap, Mohd Sharkar berkata pameran foto itu secara tidak langsung menceritakan "siapa sebenar baginda di mata rakyat", dan kecintaan rakyat terhadap Sultan Pahang adalah sesuatu yang "real".

"Pameran foto tersebut turut memaparkan foto-foto baginda sejak ditabalkan sebagai Sultan Pahang kelima pada tanggal 8 Mei 1974. Ia juga bertujuan mendekatkan lagi rakyat dengan baginda sempena ulang tahun baginda," katanya.

Sebanyak 200 foto Sultan Pahang dipamerkan pada pameran yang julung kali diadakan itu.

Mohd Sharkar berkata pameran yang sama juga akan diadakan di kompleks membelibelah East Coast Mall Kuantan pada 27 dan 28 Okt selain bercadang untuk mengadakan pameran yang sama di semua daerah di Pahang.

Katanya pameran foto itu bertujuan supaya rakyat memahami maksud sistem beraja seperti yang tertakluk dalam perlembagaan Malaysia.

"Rakyat Pahang bertuah kerana memiliki raja yang mesra dan berjiwa rakyat," katanya.

Selepas merasmikan pameran foto berkenaan, Sultan Pahang berkenan menyaksikan Konsert Diraja Pahang anjuran Jabatan Penyiaran Pahang yang dijayakan oleh lebih 10 artis baru dan lama, antaranya Datuk Yusni Hamid, FaraWahida dan Aizat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain