suria

Polis Terengganu rampas pelbagai senjata tajam daripada tiga lelaki

KUALA TERENGGANU: Polis menahan tiga lelaki yang menyamar sebagai ahli sebuah persatuan serta merampas pelbagai jenis senjata tajam daripada mereka di Kampung Rhu Dua, Marang semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supt K Manoharan berkata senjata-senjata yang dirampas itu termasuk sebilah pedang samurai, golok, badik, dua bilah pisau pemotong daging dan tiga batang kayu yang disembunyikan di dalam bonet kereta.

"Tangkapan itu dibuat setelah menerima aduan daripada seorang lelaki kira-kira pukul 2 pagi apabila lelaki-lelaki itu hendak membawa seorang wanita, yang juga rakan pengadu pulang dengan memperkenalkan diri sebagai ahli sebuah persatuan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Beliau berkata ketiga-tiga lelaki yang berumur antara 30 dan 43 tahun itu yang mendakwa kononnya bekerja sebagai guru, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras dan bekerja sendiri, mendakwa wanita itu juga adalah ahli persatuan terbabit.

Manoharan berkata wanita berusia 34 tahun dari Perak dan bekerja sebagai guru itu dikatakan menumpang sementara di rumah pengadu.

Bimbang berlaku kejadian tidak diingini, pengadu membuat laporan polis di Balai Polis Marang dan semasa polis datang ke rumah lelaki berkenaan, ketiga-tiga suspek cuba melarikan diri, katanya.

Manoharan berkata ketiga-tiga suspek berasal dari Jertih, Besut dan Kelantan itu ditahan untuk membantu siasatan dan pihaknya turut menyiasat kemungkinan suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya suspek disiasat di bawah Seksyen 6 dan 7 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Api.

Dalam perkembangan lain, cawangan sebuah pasaraya di Jalan Kota di sini, kerugian RM25,000 apabila wang yang disimpan di bilik simpanan dikebas pencuri, semalam.

Pengurus cawangan pasaraya berkenaan, Alaudeen Mohd Taha berkata kehilangan wang itu disedari kira-kira pukul 7.45 pagi ini semasa seorang pembantu ketua juruwang masuk ke pejabat untuk memulakan tugas.

Beliau berkata laporan berhubung kes itu telah dibuat di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira pukul 8.30 pagi ini.

Sementara itu, Manoharan mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Katanya suspek dipercayai masuk ke pasaraya itu melalui siling berikutan wujudnya kesan umpil di situ dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain