suria

Guru bakal terima insentif hasil kecemerlangan sekolah

PUTRAJAYA: Lebih tiga hingga empat peratus guru termasuk pengetua dan guru besar bakal menerima insentif istimewa yang dinilai pada kecemerlangan sekolah masing-masing, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan demikian semalam.

Beliau berkata, satu jawatantkuasa khas akan ditubuhkan oleh Kementerian Pelajaran bagi membuat penilaian untuk menentukan guru-guru yang layak.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, bentuk insentif istimewa itu hanya akan diumumkan akhir tahun ini bagi membolehkan tumpuan para guru dapat diberikan sepenuhnya terhadap aspek kepimpinan di sekolah mereka.

"Ia akan dinilai bukan hanya bersandarkan kepada kecemerlangan keputusan peperiksaan semata-mata tetapi turut mencakupi aspek kepimpinan di sekolah dan beberapa kriteria lain," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan 'Mighty Minds' di sini.

Ia mungkin dalam bentuk bonus gaji sebanyak sebulan atau dua bulan, katanya.

"Semua ini akan diberikan dalam bentuk pakej kerana ia bukan hanya bergantung pada kejayaan pengetua atau guru besar sahaja, ia mesti usaha yang membabitkan ramai pihak. Kita akan maklumkan sebelum akhir tahun ini," katanya.

Mengulas mengenai pemberian Biasiswa Nasional kepada 30 pelajar terbaik, beliau berkata ia akan dimulakan tahun depan dengan mengambil kira keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tahun ini.

"Kementerian sudah putuskan untuk melakukan penggredan semula, sistem pemarkahan dengan gred baru. Kita akan pilih pelajar yang terbaik antara yang terbaik, 'creme de la creme' daripada keseluruhan pelajar dan ia akan dilakukan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)," katanya.

Penilaian pelajar-pelajar tersebut, jelas beliau, akan ditentukan oleh jawatankuasa khas yang akan dibentuk.

Dalam perkembangan lain Muhyiddin berkata kurikulum baru mata pelajaran di sekolah akan digubal untuk menjadikan proses pembelajaran lebih holistik, kondusif dan menyeronokkan.

"Pendekatan baru ini untuk menjadikan pelajar lebih profisien selaras dengan dasar baru kementerian; memartabatkan Bahasa Melayu dan mengukuhkan Bahasa Inggeris. Ini akan menjadikan sistem pengajaran dan pembelajaran lebih kondusif dan tidak hanya tertumpu kepada peperiksaan semata-mata," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain