suria

PGA rampas 18,900 kg beras bernilai RM56,700

PASIR MAS: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sejumlah 18,900kg beras bernilai kira-kira RM56,700 yang diseludup dari negara jiran dalam tiga serbuan berasingan di kawasan Pasir Mas dan Tumpat.

Komander PGA Batalion 8 Supt Rooslan Radzi berkata dalam serbuan terbaru kira-kira 2.30 pagi ini, PGA merampas 154 kampit guni beras seberat 50kg setiap satu di Kampung Tempoyak di sini.

"Rampasan ini dilakukan hasil intipan anggota PGA sejak Jumaat lalu yang melihat guniguni beras ini dibawa dari pangkalan haram Kuala Jambu di Tumpat menggunakan beberapa motosikal dan kereta sebelum dilonggokkan di hadapan rumah kosong," katanya kepada pemberita.

Rooslan berkata hasil pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan, pihaknya menemui 7,700kg beras yang ditutup dengan kanvas dan dianggarkan bernilai RM23,100.

"Sejak kebelakangan ini, trend penyeludupan beras dalam guni besar kembali aktif terutamanya melibatkan beras berkualiti mahal seperti beras wangi yang dipasarkan di luar Kelantan," katanya.

Beliau berkata sebelum ini penyeludup hanya tertumpu kepada beras dalam bungkusan kecil iaitu sekitar lima hingga 25kg untuk pasaran tempatan.

"Semalam PGA turut merampas 104 kampit beras sejumlah 5,200kg di sebuah rumah kosong di Kuala Jambu manakala Isnin lepas 6,000kg lagi dirampas di sebuah stor di kampung Belukar, Pasir Mas," katanya.

Rooslan berkata kedua-dua rampasan itu melibatkan nilai kira-kira RM33,600. "Penyeludup juga kini tidak lagi menumpukan kepada penggunaan stor untuk menyimpan beras sebelum diedarkan keluar, sebaliknya menggunakan pelbagai kaedah termasuk mengunakan rumah kosong atau tidak berpenghuni," katanya.

Kesemua beras itu diserahkan kepada Kawal Selia Padi untuk tindakan lanjut. BERNAMA

Artikel Lain