suria

Komen Najib pasal PAS dan MCA

HUA HIN (THAILAND): Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, percanggahan dalam PAS nampaknya sudah sampai ke kemuncak dan semakin serius sehingga timbul dua kumpulan dalam parti itu. Najib berkata, satu kumpulan mahu bekerjasama dan mewujudkan persefahaman dengan UMNO dalam bentuk yang sesuai manakala satu lagi menentangnya.

"Ada pihak yang lebih mementingkan politik daripada ummah. Kita hargai pihak yang melihat Umno sebagai mewakili orang Melayu, berjasa dalam perjuangan ummah dan menjaga kepentingan kaum-kaum lain," katanya pada sidang media selepas tamatnya Sidang Kemuncak Asean ke15 di sini.

Najib berkata, percanggahan dalam PAS nampaknya semakin serius berikutan hasrat Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengadakan Muktamar Agung Khas PAS untuk membersihkan parti itu daripada pemimpin-pemimpin yang dilihat sebagai bermasalah.

Menurut Perdana Menteri lagi, ada kumpulan dalam PAS yang tidak mahu bekerjasama dengan Umno untuk menegakkan kepentingan orang Melayu dan Islam semata-mata kerana kepentingan politik mereka. Pihak ini, kata beliau tidak menghargai jasa Umno dalam mewakili kepentingan orang Melayu dan menjaga perpaduan ummah.

Katanya, terdapat sekumpulan pemimpin dalam PAS pula yang berhasrat untuk mencari pendekatan yang boleh membawa kepada perpaduan ummah, mirip kepada bekerjasama.

"Apa bentuk tak tahu... maknanya tak mahu perpecahan. Satu lagi kumpulan mahu perbalahan berterusan dan tiada pertimbangan apa-apa pun untuk perpaduan," kata beliau.

Ditanya sama ada Umno akan mengadakan perbincangan dengan PAS, Najib berkata selagi PAS tiada kata sepakat, Umno tidak boleh mengadakannya secara rasmi.

"Kita tunggu dan lihat perkembangan dalam PAS," katanya, sambil menambah, sebarang perbincangan tidak akan membuahkan hasil jika diadakan dengan wakil tertentu sahaja dan bukan keseluruhan parti itu. Mengenai "Pelan Perpaduan Lebih Unggul" yang diumumkan oleh Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat bagi menyelesaikan kemelut dalaman parti itu, Najib berkata beliau telah menasihatkan dua pemimpin utamanya dan naib-naib presiden untuk mencari jalan penyelesaian secepat mungkin.

"Nampaknya mereka terima penyelesaian berdasarkan permuafakatan dua kumpulan. Sebab tiada satu kumpulan yang mendapat majoriti atau lebih 50 peratus berdasarkan EGM. Mahu tidak mahu mereka akur dan terima hakikat itu," katanya.

Najib menambah, hanya dengan kerjasama, kedua-dua pemimpin boleh mewakili keseluruhan dalam MCA.

Khamis lalu, Tee Keat dan seterunya bekas timbalan presiden parti itu Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bersetuju untuk bekerja sebagai satu pasukan untuk menyatu padukan parti dan menyelesaikan krisis kepimpinan MCA di bawah "pelan perpaduan lebih unggul".

Ong telah menyatakan bahawa pelan perpaduan itu mendapat persetujuan dan sokongan Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional.

Artikel Lain