suria

Kerajaan serius untuk membantu golongan memerlukan - Muhyiddin

PETALING JAYA: Kerajaan serius dalam usaha mengalakkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) di negara ini bagi membantu golongan kurang bernasib baik, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata pewujudan dana CSR berjumlah RM100 juta, seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2010 pada Jumaat, adalah bukti kepada komitmen kerajaan berhubung perkara itu.

"Saya dimaklumkan yang dana itu akan digunakan untuk kegiatan amal, untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik, golongan miskin dan menganjurkan program untuk membantu mereka yang memerlukan," katanya kepada pemberita selepas menyertai kejohanan ke-3 Golf Amal AlKhaadem di Tropicana Golf and Country Resort di sini. Muhyiddin adalah penaung acara golf tahunan itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata semua sektor korporat dan penderma yang mengambil bahagian dalam acara golf amal itu, telah memberikan respons menggalakkan terhadap gesaan kerajaan itu.

"Terdapat banyak aktiviti kebajikan dianjurkan dari semasa ke semasa, dan saya lihat banyak orang turut serta (dalam aktiviti berkenaan) yang menunjukkan rakyat Malaysia pada amnya, adalah masyarakat yang pemurah," katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan AlKhaadem, sebuah badan bukan kerajaan, berkata keuntungan daripada acara amal itu akan disalurkan kepada projek utamanya iaitu Rumah Harapan di Kota Kemuning, Shah Alam.

Mohd Hussain Yee berkata rumah itu dibangunkan dan dibina sepenuhnya melalui dana awam di kawasan tanah wakaf seluas tiga ekar (1.2 hektar) di Kota Kemuning dan boleh menempatkan 250 penghuni.

Kini, terdapat 50 anak yatim dan kurang bernasib baik tinggal di rumah itu.

"Matlamat rumah ini ialah untuk mewujudkan komuniti lestari di mana penghuni boleh menyertai programprogram pendidikan, latihan dan latihan semula untuk menjadikan mereka berdikari untuk jangka panjang," kata Mohd Hussain.

Muhyiddin adalah antara 128 peserta yang mengambil bahagian dalam acara amal itu yang berjaya mengumpul dana sebanyak RM527,000 hasil sumbangan wakil pelbagai syarikat multinasional dan agensi.

Sebahagian sumbangan itu akan disalurkan kepada Tabung Kanser Kanak-kanak Hospital Universiti Malaya dan Rakan Institut Jantung Negara. BERNAMA

Artikel Lain