suria

Kehadiran pemimpin utama Asia tunjuk kepentingan Asean - Najib

HUA HIN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kehadiran pemimpin-pemimpin utama dari China, Jepun, Korea Selatan dan India pada Sidang Kemuncak Asean ke-15 di sini membawa mesej bahawa Asean adalah satu kumpulan serantau yang penting.

Katanya, mereka berhasrat untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang agar integrasi di antara 10 negara Asean dan rakan dialog boleh diperkukuhkan lagi.

Menurut beliau, kini sudah terdapat beberapa perkembangan positif dan ia tidak terhad kepada peningkatan perdagangan seperti perjanjian pelaburan di antara Asean dan China.

"Mereka (rakan dialog) juga berhasrat bekerjasama dalam perubahan iklim, jaminan makanan, bantuan bencana, pelancongan dan membawa mesej Asean ke pelbagai forum multilateral seperti G20," katanya pada sidang media bersama bersama wartawan Malaysia.

Najib berkata, Asean mahu suara negara-negara membangun diambil kira dan ia juga tidak mahu "protectionism" atau sekatan perdagangan menular, serta berharap Sidang Pemanasan Iklim di Copenhagen Disember ini akan berjaya walaupun bukan sepenuhnya.

Semalam, para pemimpin Asean mengadakan Sidang Kemuncak berasingan dengan Perdana Menteri China Wen Jiabao, Perdana Menteri Jepun Yukio Hatoyama, Presiden Korea Lee Myungbak dan Perdana Menteri India Manmohan Singh.

Hari ini, Asean akan mengadakan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAs) yang akan turut dihadiri oleh Perdana Menteri New Zealand John Key dan rakan sejawatannya dari Australia Kevin Rudd.

Imej Asean sebagai sebuah kumpulan serantau penting dengan 580 juta penduduk terjejas apabila EAS ditangguh beberapa kali kerana krisis politik di Thailand, termasuk April lepas apabila beriburibu penunjuk perasaan menyerbu tempat persidangan.

Ditanya sama ada penubuhan G20 yang turut dianggotai Indonesia akan menjejaskan kumpulan serantau lain seperti Asean, Najib berkata G20 merupakan satu realiti dan yang lebih baik daripada G7.

"Indonesia adalah anggota dan Asean diwakili oleh sesiapa sahaja yang pengerusikan Asean. Bahkan ada cadangan bahawa Menteri-menteri Kewangan Asean bermesyuarat terlebih dahulu daripada mesyuarat G20 supaya Asean dapat memberi pandangannya," katanya.

Mengenai pertemuan dua hala dengan Yukio Hatoyama yang menghadiri Sidang Kemuncak Asean pertama beliau sejak memenangi pilihan raya Jepun baru-baru ini, Najib berkata beliau telah membangkitkan cadangan penubuhan Universiti Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun.

Katanya, Yukio telah menyatakan akan melihat semula bagaimana semangat yang diputuskan semasa Tun Dr Mahathir Mohamad dan Junichiro Koizumi menjadi Perdana Menteri dapat diterjemahkan dalam bentuk perkongsian yang lebih saksama.

Cadangan itu dibuat semasa Dr Mahathir memulakan Dasar Pandang Ke Timur.

Menurut beliau, Yukio juga berpuas hati dengan hubungan dua hala keduadua negara yang meningkat ekoran perjanjian perkongsian ekonomi yang dimeterai oleh mereka.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed dan Menteri Luar Datuk Anifah Aman turut hadir pada pertemuan itu. BERNAMA

Artikel Lain