suria

Bekas banduan dipenjara lapan tahun dan disebat kerana menyamun

KOTA BAHARU: Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan terhadap seorang bekas banduan selepas mengaku bersalah menyamun menggunakan senjata api, bulan lepas.

Nik Mazlan Wan Hamat, 48, yang juga seorang penganggur diperintahkan menjalani hukuman itu oleh Hakim Dazuki Ali berkuatkuasa mulai tarikh tertuduh ditahan pada 13 Oktober lepas.

Tertuduh mengaku bersalah melakukan jenayah samun menggunakan pistol terhadap Nor Hazina Rohana Zainun, 33, dengan menyamun wang tunai RM15,200 di kaunter pembayaran Stesen Mobil Gaal, Bukit Yong, Pasir Puteh, pada 2 petang, 11 Oktober lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Rehan Mohd Aris manakala tertuduh tidak diwakili peguam. BERNAMA

Artikel Lain