suria

'Pelan Perpaduan Besar' mesti untuk semua - Kong

KUALA LUMPUR: Naib presiden MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata beliau mahu cadangan "Pelan Perpaduan Besar" yang diumumkan oleh presiden Datuk Seri Ong Tee Keat adalah untuk semua dalam parti.

Beliau berkata ini sangat penting agar penyatuan parti itu membolehkan setiap anggota ada peranan dalam memastikan MCA boleh bergerak.

"Saya fikir ia adalah langkah yang baik dan pada arah yang betul, katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kunci kepada pemilik projek perumahan Jalil Sutera dekat sini hari ini.

Pergelutan kuasa dalam MCA yang bertambah buruk khasnya selepas mesyuarat agung luar biasa pada 10 Okt lepas, berakhir dengan serta merta setelah presidennya dan bekas timbalannya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN).

Ong yang juga mengumumkan "Pelan Perpaduan Besar" belum lagi memaklummkan butirbutir mengenai pelan itu untuk dilaksanakan.

Ditanya mengenai perkara itu, Kong menggesa anggota MCA hendaklah memberikan Ong ruang kerana beliau memerlukan sedikit masa untuk mengumumkannya.

Terdahulu, Kong yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata pencegahan dan pemulihan projek perumahan terbengkalai akan menjadi fokus utama bagi KPI kementerian itu, dengan tiga perkara utama akan dilaksanakan.

Yang pertama katanya, kerajaan akan melaksanakan pemantauan berkala terhadap semua projek perumahan berlesen bagi mengelakkan projek daripada bermasalah.

"Kedua untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pemaju perumahan yang tidak mematuhi akta dan peraturan yang ditetapkan serta yang ketiga adalah memulihkan sebilangan projek perumahan yang terbengkalai," katanya.

Menurutnya sejak tahun 2000 hingga bulan lepas, terdapat 148 projek perumahan yang melibatkan 49,913 unit rumah serta 31,824 pembeli rumah di seluruh negara yang dibangunkan pemaju rumah swasta dikategorikan sebagai projek terbengkalai.

Daripada 148 projek itu, Kong berkata kementerian telah berjaya memulihkan 12 projek yang melibatkan 2,170 unit rumah pada tahun ini.

Bagi tempoh 2006 hingga bulan lepas, sebanyak 237 kes pendakwaan terhadap pemaju rumah yang melanggar peruntukan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 dilaksanakan oleh kementerian itu dan antara tindakan yang diambil ialah menyenaraihitamkan pemaju dan anggota lembaga pengarah syarikat yang terlibat dengan projek terbengkalai.

Mengenai inisiatif di bawah Indeks Bangunan Hijau (GBI) untuk mempromosikan teknologi hijau dalam sektor pembinaan yang diumumkan Najib ketika membentangkan Bajet 2010 semalam, Kong berkata langkah itu adalah proaktif dan akan menggalakkan lebih ramai pemaju membina bangunan dan pembeli memilih hartanah dengan pematuhan teknologi hijau.

Di bawah initiatif ini, pemilik bangunan yang memperoleh Sijil GBI mulai hari ini hingga 31 Dis 2014 akan diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan perbelanjaan modal tambahan bagi memperoleh sijil berkenaan.

Pembeli bangunan dan rumah kediaman yang mempunyai sijil GBI daripada pemaju hartanah juga akan diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik bagi tempoh yang sama. BERNAMA

Artikel Lain