suria

Majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Deepavali pada 1 November

KUALA PILAH: Kira-kira 8,000 orang daripada pelbagai kaum dijangka hadir pada sambutan Majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Deepavali 2009 di padang Ladang Siliau, Port Dickson pada 1 November ini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata majlis anjuran kementerian tersebut dengan kerjasama kerajaan Negeri Sembilan itu bertujuan mengetengahkan dan mengembalikan amalan tradisi menyambut Deepavali, mengeratkan hubungan antara pemimpin negara dan rakyat serta memupuk perpaduan dan persefahaman di kalangan mereka.

"Majlis peringkat kebangsaan ini akan berlangsung mulai pukul 2 hingga 6 petang.

Pada majlis ini kita akan jelmakan 1Malaysia sebagai tali perpaduan dan juga program pelbagai kaum," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pameran Raja Kita dan pelancaran setem kenangkenangan serta sampul surat hari pertama pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir di Istana Lama Seri Menanti dekat sini.

Katanya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka merasmikan rumah terbuka tersebut yang turut dihadiri pemimpin kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.

Rais berkata lokasi tersebut dipilih kerana ia merupakan antara kawasan tumpuan utama masyarakat India. Mengenai pengisian program, beliau berkata rumah terbuka tersebut akan membolehkan orang ramai mengenali lebih dekat budaya masyarakat India.

"Pun begitu, kebudayaan kaum lain akan turut dipersembahkan kepada pengunjung," katanya.

Dari segi jamuan makanan, beliau berkata jamuan untuk pemimpin dan rakyat akan diadakan secara terbuka bertujuan menjalin kemesraan di antara pemimpin dan rakyat. Pada majlis itu, sumbangan bantuan akan diberikan kepada mereka yang memerlukan yang terdiri daripada pelbagai kaum, kata Rais. BERNAMA

Artikel Lain