suria

Kerajaan serius memastikan projek rakyat siap ikut jadual

GEMAS: Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata kerajaan amat serius untuk memastikan semua projek yang dijalankan kontraktor terpilih sentiasa menepati piawaan dan siap dibina dalam tempoh yang ditetapkan.

Katanya, kelewatan kontraktor menyiapkan projek akan mengundang persepsi buruk rakyat terhadap kerajaan serta kelambatan ini sekali gus merugikan banyak pihak.

"Kalau ada masalah dalam projek. Orang akan salahkan kementerian dan masa pilihan raya rakyat akan hukum, kita nak elakan dari perkara ini berlaku," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak Hospital Tampin yang baru di sini hari ini.

Hospital itu yang berharga RM138.4 juta akan siap pada 2012 dan akan menggantikan hospital lama yang dibina pada tahun 1923.

Beliau juga memberitahu para pegawainya bahawa kerja mereka tidak semestinya duduk di pejabat sebaliknya, adalah menjadi satu tanggungjawab untuk turun ke padang bagi membuat pemantauan terhadap projek-projek kerajaan dan kerja kontraktor.

Agensi-agensi yang bertanggungjawab ini kalau tidak dapat melaksanakan projek mengikut tempoh yang ditetapkan akan menyebabkan harapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu melihat rakyat diutamakan tidak dicapai, kata Shaziman.

Mengenai pengurangan peruntukan kepada kementeriannya pada Bajet 2010 berbanding pada tahun 2009, beliau menjelaskan, ia tidak akan menjejaskan rancangan pembangunan yang dirancang.

"Apaapa yang dijanjikan oleh kerajaan sebelum pilihan raya dahulu termasuk di kawasan pembangkang, kerajaan tetap tunaikan janji untuk pembangunan infrastruktur," katanya.

Adalah menjadi tanggungjawab Jabatan Kerja raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPs) untuk menggunakan peruntukan ini sebaik mungkin bagi menyiapkan projek-projek untuk kebaikan rakyat, kata beliau. BERNAMA

Artikel Lain