suria

Kerajaan perkenal klinik 1Malaysia di kawasan bandar

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan perkhidmatan kesihatan klinik komuniti yang akan dinamakan Klinik 1Malaysia di kawasan bandar seperti mana klinik desa di luar bandar, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata klinik itu akan ditempatkan di kawasan perumahan dengan menyewa rumah kedai untuk memudahkan masyarakat setempat mendapat rawatan sakit biasa seperti demam, batuk dan selesema.

Beliau berkata klinik itu akan dikendalikan oleh pembantu pegawai perubatan dan dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

"Sebagai permulaan, 50 klinik akan dibuka di kawasan terpilih dengan peruntukan sebanyak RM10 juta," katanya ketika membentangkan Bajet 2010 di Parlimen di sini semalam.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan akan menaikkan kadar elaun kanakkanak orang kurang upaya (OKU) di sekolah pendidikan khas kelolaan badan bukan kerajaan (NGO) daripada RM50 kepada RM150 sebulan bagi setiap seorang mulai 1 Januari 2010.

Beliau berkata peruntukan RM3.3 juta yang disediakan itu akan memberi manfaat kepada hampir 4,000 kanak-kanak OKU.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata klinik 1Malaysia dijangka mengurangkan bilangan pesakit luar di klinik dan hospital kerajaan berikutan lebih ramai pesakit yang menghidap penyakit ringan dapat menerima rawatan di klinik tersebut.

Liow berkata klinik tersebut akan diuruskan oleh pegawai pembantu perubatan atau paramedik yang mampu merawat penyakit ringan manakala kes penyakit yang serius akan dirujuk ke hospital.

"Klinik ini akan kita laksanakan di kawasankawasan kediaman, jadi rakyat tak perlu pergi jauh ke bandar dan boleh terus mendapatkan rawatan di kawasan perumahan sekitar mereka," katanya kepada pemberita selepas Pembentangan Bajet 2010 di lobi Parlimen di sini semalam.

Terdahulu dalam pembentangan Bajet 2010, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan memperkenalkan perkhidmatan klinik komuniti yang dinamakan Klinik 1Malaysia di kawasan bandar, seperti klinik desa di luar bandar.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr David Quek menyambut baik dan memuji keperihatinan pihak kerajaan terhadap keperluan kesihatan rakyat di negara ini.

Beliau berkata peruntukan sebanyak RM14.8 bilion bagi membina dan menaik taraf kemudahan hospital dan klinik di seluruh negara adalah sesuatu yang baik yang akan membolehkan lebih banyak klinik dan hospital akan dinaik taraf.

Katanya persatuan itu turut menyokong usaha kerajaan memperkenalkan klinik 1Malaysia namun menurutnya idea itu dilihat lebih praktikal sekiranya klinik itu diwujudkan di luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata kini terdapat banyak klinik swasta di bandar dan dibimbangi kehadiran klinik 1Malaysia di kawasan bandar nanti akan menjejaskan pendapatan pengusaha klinik swasta.BERNAMA

Artikel Lain