suria

Kerajaan komited kurangkan kemiskinan di kawasan bandar

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk membasmi kemiskinan tegar dan meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan beberapa ikhtiar termasuk untuk menangani kemiskinan di bandar, meningkatkan pemilikan rumah selain menyediakan usaha membantu menjana pendapatan golongan miskin dan terjejas.

Ketika membentangkan Bajet 2010 di Parlimen semalam, Najib mengumumkan bahawa kerajaan akan memperuntukkan RM48 juta bagi melaksanakan program pembasmian kemiskinan di bandar yang meliputi bantuan kebajikan dan program bayaran sewa rumah.

"Landskap kehidupan semasa menyaksikan kadar urbanisasi berkembang pesat dengan 63 peratus daripada penduduk tinggal di bandar. Kita sedar bahawa kehidupan di bandar pada kala ini bukannya mudah.

"Masalah kemiskinan kian meningkat disebabkan kos sara hidup yang tinggi, pendapatan yang rendah dan masalah tempat tinggal," katanya.

Bagi mengatasi masalah kemiskinan bandar secara holistik, Najib mengumumkan peranan Kementerian Wilayah Persekutuan dikukuhkan dan akan dikenali sebagai Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Beliau berkata antara tugas utama kementerian tersebut ialah menyediakan satu pelan tindakan komprehensif dan melaksanakan program bersesuaian untuk menangani masalah kemiskinan bandar di seluruh negara termasuk golongan berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan.

Najib berkata bagi membantu golongan miskin di bandar, kerajaan akan memberi keutamaan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki dan menyewa rumah yang disediakan kerajaan.

"Pada 10 Okt 2009, saya telah mengumumkan lebih 44,000 rumah kos rendah dijual pada harga di antara RM21,500 hingga RM35,000 seunit yang diuruskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Perumahan Negara (JPN).

"Sebagai langkah tambahan, JPN telah menyediakan 74,000 unit rumah kos rendah untuk disewa pada 2010," katanya.

Najib juga memaklumkan terdapat 148 projek swasta setakat ini yang terbengkalai melibatkan 49,913 unit rumah serta 31,824 pembeli rumah. Daripada jumlah itu, 87 projek masih belum dapat dipulihkan di mana 41 projek terdiri daripada rumah kos rendah dan sederhana, katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan mempertimbangkan bantuan kewangan yang bersesuaian untuk memulihkan rumah kos rendah dan sederhana mengikut senarai projek sedia ada dan bagi tujuan itu, peruntukan sebanyak RM200 juta akan disediakan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Najib juga berkata kerajaan akan melancarkan satu skim pada Januari tahun depan untuk membolehkan pencarum KWSP menggunakan simpanan sedia ada dan mengambil kira simpanan masa depan dalam Akaun 2.

Katanya skim itu bertujuan untuk mendapatkan jumlah pembiayaan yang lebih bagi membolehkan mereka membeli rumah yang bernilai tinggi atau membeli rumah tambahan.

"Skim ini meningkatkan daya pembelian pencarum KWSP dan adalah terhad pada pembelian satu rumah pada satu masa serta tertakluk pula kepada syarat-syarat yang ditentukan KWSP," katanya.

Selain golongan miskin di bandar, kerajaan juga tidak melupakan golongan miskin lain di seluruh negara dan komited untuk mencapai matlamat sifar kemiskinan tegar pada tahun 2010.

Najib juga berkata kerajaan akan melaksanakan pelbagai program bagi mengurangkan kadar kemiskinan di seluruh negara kepada 2.8 peratus pada 2010 berbanding 3.6 peratus pada 2007.

Beliau berkata hampir 50,000 isi rumah miskin tegar yang berdaftar di bawah program eKasih dan 4,000 isi rumah Orang Asli yang telah dikenalpasti akan dibantu bagi mencapat matlamat tersebut.

Bagi tujuan tersebut, katanya, kerajaan akan mengagihkan bantuan kebajikan Persekutuan pada hari pertama setiap bulan. "Bagi negerinegeri Semenanjung, ia telah bermula pada 1 September 2009 dan bagi Sabah dan Sarawak akan bermula pada 1 Januari 2010," katanya.

Selain itu, beliau berkata Skim Program Lonjakan Mega dengan peruntukan RM141 juta seperti di Batang Sadung dan Batang Lupar(Sarawak), Pulau Banggi (Sabah) dan Tanjung Gahai dan Chemomoi (Pahang) dijangka dapat mengeluarkan 5,600 keluarga daripada kemiskinan tegar.

Najib berkata kerajaan juga akan menyediakan latihan kemahiran dan kemudahan mikro kredit bagi kumpulan miskin yang produktif bagi menjana pendapatan berterusan dan lebih berdikari.

Bagi tujuan tersebut, katanya, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM180 juta bagi meneruskan Program Pembasmian Kemiskinan dan Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) yang meliputi Program Peningkatan Pendapatan, Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya, Program Kecemerlangan Pendidikan, Program Bantuan Rumah dan Program Pembangunan Masyarakat Setempat.

Beliau berkata kerajaan juga memperuntukkan RM30 juta kepada UDA Holdings Bhd bagi membina 300 unit kedai desa di seluruh negara bagi menyediakan peluang memulakan perniagaan di luar bandar. BERNAMA

Artikel Lain