suria

Peguam didakwa palsukan dokumen & rasuahkan pegawai bank

KUALA LUMPUR: Seorang peguam hari ini diperintah membela diri di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua tuduhan menggunakan surat kuasa wakil palsu dan satu tuduhan memberi keterangan palsu dalam afidavit prosiding saman pemula membabitkan penjualan satu hartanah di Bangsar.

Hakim Rosenani Abdul Rahman memerintahkan S. Kanawagi, 64, untuk membuat pembelaan terhadap kesemua pertuduhan setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Katanya, elemen utama untuk memanggil Kanawagi membela diri ialah tertuduh memang mengetahui bahawa surat kuasa wakil itu palsu dan dia sendiri yang mengarah disiapkan dokumen palsu itu.

Rosenani berkata, untuk pertuduhan ketiga, Kanawagi sengaja memberi keterangan palsu dalam afidavit yang diikrarkannya pada 13 Feb 1995.

Beliau menetapkan 24 dan 25 Nov ini untuk Kanawagi membuat pembelaan.

Bagi pertuduhan pertama dan ketiga, Kanawagi dituduh secara curang telah menggunakan satu dokumen palsu "surat kuasa wakil" sebagai tulen dan mendaftarkannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Mei 1994 dan 7 Ogos 1993.

Bagi pertuduhan kedua, dia dengan sengaja memberikan keterangan palsu dengan membuat pernyataan palsu dalam afidavit yang didaftarkan di Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur pada 13 Feb 1995.

Kanawagi diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin manakala Timbalan Pendakwa Raya S. Devananthan mengendalikan pendakwaan.

Di mahkamah yang sama tetapi dikendali oleh Hakim Rozana Ali Yusoff, seorang bekas pegawai BSN Commercial Bank, R.Arumugam, 59, diperintah membela diri terhadap tuduhan menerima rasuah RM5,000 daripada Kanawagi.

Rozana menetapkan 30 Okt ini untuk Arumugam membela diri.

Arumugam, bekas pegawai polis di Bahagian Narkotik, Bukit Aman, didakwa menerima suapan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Kanawagi berhubung laporan polis berkaitan hartanah yang sama di Bangsar.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Abdullah Off Jalan Bangsar pada 6.30 petang 9 Mac 1999.

Arumugam diwakili peguam Gurbachan Singh manakala pendakwaan dijalankan oleh Mohd Asnawi Abu Hanipah dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain