suria

Nik Aziz setuju Perlembagaan dipinda jelaskan status negara

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong penuh saranan supaya kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memperjelaskan beberapa isu termasuk soal status negara yang mengamalkan dwisistem.

"Sekiranya ia memberi kebaikan, saya sokong 100 peratus. Kalau nak buat benda baik dalam Malaysia, (tidak apa) asalkan ia kena ikut Islam," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di sini pagi tadi.

Beliau diminta mengulas kenyataan Anggota Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Zulkifli Noordin bahawa Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi memastikan fakta-fakta mengenai kedudukan agama Islam tidak lagi diputar belit dan disalah tafsir oleh golongan tertentu untuk memberi gambaran kononnya Malaysia adalah negara sekular.

Nik Aziz berkata sebab itulah ramai beranggapan Malaysia bukan sebuah negara Islam kerana perlembagaan sendiri bukan dibuat oleh orang Islam tetapi Inggeris.

Ditanya mengenai perkembangan dalam MCA apabila dua pemimpin tertingginya yang bertelagah berbaik-baik semula, Nik Aziz berkata ia tidak menggugat kedudukan PAS yang sedang menarik sokongan Cina terhadap PAS. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain