suria

Nik Aziz desak PAS adakan Muktamar Khas Luarbiasa

PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz mendesak parti itu untuk mengadakan Muktamar Khas Luarbiasa bagi menyelesaikan beberapa isu dalaman parti termasuk kemelut barisan kepimpinan di peringkat pusat.

Beliau berkata melalui muktamar berkenaan memberi peluang kepada perwakilan untuk membuat keputusan yang akan menentukan haluan parti.

"Untuk kali ini, saya dengan kuat merasakan bahawa perlu ada perubahan dalam pemain-pemain penting yang menduduki kerusi kepimpinan PAS diperingkat pusat.

"Kita panggil mesyuarat parti yang tergempar misalnya mungkin dipanggil muktamar khaslah.

"Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu demi “tajdid” kita perlu buat Mesyuarat Agong Luarbiasa ini," katanya melalui blog peribadinya www.blogtokguru.com.

Menerusi blog tersebut juga, Menteri Besar Kelantan itu turut mengaitkan mengenai kepimpinan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

"Bila Mesyuarat Agong tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah, kita pakat-pakat belalah.

"Begitu juga dengan isu-isu disekitar Hassan atau Mustafa yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan Perpaduan atau UG (Unity Government).

"Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan, kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni?" katanya.

Katanya lagi melalui Muktamar Khas itu juga dapat menyelesaikan permasalahan yang timbul dalam parti.

"Tidak boleh jadi ni, kita duk “ghok-ghak” (kacau) begini, oOrang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khaslah, senang cerita.

"Biar tentu sah, nak ikut yang mana... kita nak kekal yang mana dan buang yang mana," katanya.

Sementara itu Bernama melaporkan, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa pula berkata mesyuarat Majlis Syura parti itu perlu diadakan dengan secepat mungkin bagi membincangkan perkara itu, selain mendapatkan penjelasan terperinci daripada Nik Abdul Aziz sendiri.

"Saya merasakan mungkin mesyuarat Majlis Syura akan diadakan kerana beliau (Nik Abdul Aziz) adalah pengerusi majlis syura ulama (yang) akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan penjelasan daripada mulut beliau sendiri," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen apabila diminta mengulas cadangan Nik Aziz itu.

Bagaimanapun, Nasharudin berkata ia merupakan pandangan peribadi Nik Abdul Aziz dan tidak boleh membawa kepada perubahan dasar parti berkenaan kerana sebarang perubahan perlu dilakukan sebulat suara.

"Beliau sebagai Mursyidul Am bebas untuk memberikan pandangan tapi untuk membuat suatu keputusan, sudah tentulah ianya perlu dimesyuaratkan sebab ini benda besar, bukannya benda yang boleh dibuat oleh seorang ataupun dua orang.

"Pandangan peribadi tidak boleh menjadi sesuatu yang boleh membawa kepada perubahan dasar dalam parti kerana parti ini adalah milik ahlinya yang bermuktamar setiap tahun," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub pula enggan memberi sebarang komen mengenai perkara itu dan akan berjumpa dengan Nik Abdul Aziz esok.

"Saya akan berjumpa dengan beliau sendiri esok dan mendengar sendiri penjelasan daripada mulut beliau," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain