suria

Najib: Bajet 2010 batu loncatan ke arah ekonomi berpendapatan tinggi

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Bajet 2010 berjumlah RM191.5 bilion yang mengandungi tiga strategi utama iaitu untuk memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, memastikan pembangunan holistik dan mapan, dan mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Najib dalam bajet sulungnya sebagai Perdana Menteri yang bertemakan "1Malaysia, Kemakmuran Bersama" memperuntukkan RM138.3 bilion atau 72.2 peratus untuk perbelanjaan mengurus dan RM53.2 bilion atau 27.8 peratus untuk perbelanjaan pembangunan.

Peruntukan belanjawan 2010 ini merupakan pengurangan sebanyak 11.2 peratus berbanding dengan jumlah peruntukan belanjawan 2009 sebanyak RM215.7 bilion, katanya ketika membentangkan Bajet 2010 di Dewan Rakyat petang ini.

Najib berkata dalam strategi bagi memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, kerajaan akan menggalakkan pelaburan swasta, mempergiat penyelidikan pembangunan dan pengkomersilan, memanfaatkan sepenuhnya bidang khusus, memajukan sektor pertanian, menggalakkan industri pembinaan, memperkasa industri kecil dan sederhana, membangunkan teknologi hijau dan menggalakkan industri kreatif.

Bagi strategi kedua iaitu memastikan pembangunan holistik dan mapan, kerajaan akan meningkatkan modal insan berkemahiran tinggi, memantapkan sistem perbankan dan kewangan, memerangi rasuah, pembangunan wilayah koridor, dan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan pengurusan kerajaan.

Katanya dalam strategi ketiga pula, kerajaan akan berusaha mencegah jenayah, meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat, memperkasa prasarana luar bandar serta pedalaman, dan menambahbaik pengangkutan awam.

Menurutnya dalam langkah pertama ke arah meningkatkan pelaburan swasta, kerajaan akan menyediakan persekitaran mesra pelanggan, meningkatkan pelaburan swasta, pelaksanaan inisiatif penswastaan, meningkatkan inisiatif projek awamswasta dan mempergiatkan kemasukan pelaburan asing.

Bagi memanfaatkan sepenuhnya pembangunan bidang khusus pula, kerajaan akan merancakkan industri pelancongan, memantapkan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan mempergiatkan industri halal, tambahnya.

Juga di bawah strategi memacu ekonomi berpendapatan tinggi, Najib berkata kerajaan akan memajukan sektor pertanian, menggalakkan industri pembinaan, memperkasa perusahaan kecil dan sederhana, pembangunan industri hijau yakni menggalakkan pembangunan bangunan hijau, dan menggalakkan industri kreatif.

Perdana Menteri berkata bagi mencapai strategi kedua iaitu pembangunan holistik dan mapan, langkah pertama membabitkan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi yang akan ditingkatkan manakala akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan akan diperluaskan.

Seterusnya, kata Najib, kerajaan akan menjaga kebajikan golongan pelajar, menggilap kemahiran tenaga kerja, mempergiatkan program Permata, dan memperkasa institusi pengajian tinggi awam.

Bagi langkah kedua strategi itu , kerajaan juga akan memantapkan sistem perbankan dan kewangan dengan cara mencergaskan pasaran saham, memajukan lagi sistem kewangan Islam, memperluaskan program mikro kredit Ar Rahnu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain