suria

Langkah luar biasa untuk selesai krisis dalaman MCA

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat telah tampil dengan pelan luar biasa dalam satu lagi langkah politik yang bijak untuk menyatukan parti ekoran keputusan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) 10 Okt dan kemudiannya pada mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) Khamis lepas.

Sumber parti berkata Ong telah merumuskan pelan itu dengan berhatihati sebaik sahaja selepas mesyuarat CC Khamis lepas, di mana rancangan segelintir penyokongnya untuk menjatuhkannya sebagai presiden parti telah tidak berjaya.

Rancangan itu gagal selepas Ong memutuskan untuk menggunakan Perkara 30.1 perlembagaan parti dengan mengarahkan setiausaha agung parti Datuk Wong Foon Ming untuk memanggil EGM bagi menentukan sama ada parti itu patut mengadakan pemilihan baru.

Sumber dalaman parti berkata naib presiden MCA Datuk Dr Ng Yen Yen dan seorang lagi anggota CC Datuk Ti Lian Ker telah memainkan peranan di belakang tabir untuk menemukan Ong dan bekas timbalan presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, termasuk menghubungi Dr Chua di Singapura pada Ahad.

"Berikutan itu, Dr Chua pulang pada Isnin dan Ong terus berjumpa dengan Dr Chua. Mereka berbincang selama beberapa jam dan mengusahakan pelan perpaduan itu. "Ini disusuli dengan beberapa pertemuan lagi sebelum kedua-dua mereka bersetuju untuk memberikan taklimat kepada Perdana Menteri mengenai cadangan mereka," menurut sumber itu yang tahu mengenai pelan itu kepada Bernama.

Semasa diminta mengulas mengenai peranan mereka, Dr Ng dan Ti enggan memberikan komen kecuali menyatakan mereka gembira kerana kedua-dua pemimpin boleh bekerjasama sekali lagi "tanpa dipengaruhi oleh pihak lain".

Seorang lagi sumber parti berkata pada awalnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agak sangsi mengenai pelan itu semasa diberikan taklimat mengenainya.

"Hanya selepas diberikan penjelasan yang menyakinkan oleh Dr Chua, barulah perdana menteri memberi restu," kata sumber itu.

Sumber dalaman parti itu menjelaskan pertemuan Ong-Dr Chua diadakan pada masa yang sama ketika Ong mengadakan pertemuan dengan timbalan presiden yang baru dilantik Datuk Seri Liow Tiong Lai bagi menyelesaikan krisis dalaman parti.

"Hanya mereka tidak mengadakan pertemuan secara serentak tetapi saling tahu mengenai pertemuan itu," katanya.

Beberapa penyokong setia Ong menyatakan mereka tiada masalah untuk bekerja dengan Dr Chua selepas menyedari yang beliau telah "dikhianati oleh beberapa penyokongnya yang paling dipercayai" dalam CC.

"Orang yang meminta beliau untuk menyingkirkan Dr Chua dari parti adalah orang yang sama mahu menjatuhkan beliau sebagai presiden parti. Kesilapan beliau ialah beliau terlalu mempercayai mereka ini dan tidak mahu bercakap secara terus dengan Dr Chua.

"Beliau kini sedar akan kesilapannya itu. Selepas bercakap secara terus dengan Dr Chua beberapa hari lepas, beliau mendapati sebenarnya tidak sukar untuk bercakap dengannya. Sebab itulah mereka dapat merumuskan pelan perpaduan itu," kata seorang anggota CC yang enggan dikenali.

Namun butiran mengenai "pelan perpaduan lebih unggul" itu masih belum didedahkan lagi kerana difahamkan mereka yang terlibat sedang menunggu keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROs) mengenai kedudukan Dr Chua dalam parti selepas EGM 10 Okt.

Pastinya, apa yang paling menarik perhatian ialah langkah yang bakal diambil oleh pemimpin terbabit dalam beberapa hari akan datang, terutamanya nasib mereka yang menentang Ong sebelum ini.

Mereka termasuk beberapa anggota CC yang dipilih dan yang dilantik.

"Semua mata kini tertumpu kepada mereka ini, termasuk menteri dan timbalan menteri, yang selama ini lantang menggesa Ong untuk meletakkan jawatan," kata seorang sumber parti.

"Sebab itu, dalam politik ada perumpamaan iaitu tiada yang kekal sebagai muduh dan tiada yang kekal sebagai kawan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain