suria

Kerajaan swastakan syarikat MOF dan agensi berdaya maju lain

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengurangkan pembabitannya dalam aktiviti ekonomi secara berperingkat-peringkat, terutama dalam bidang ia bersaing dengan sektor swasta, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan akan menswastakan syarikat-syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) dan agensiagensi kerajaan lain yang berdaya maju.

"Gelombang kedua pensawastaan yang bertujuan membolehkan syarikat dan agensi beroperasi secara lebih cekap selain meluaskan aktiviti mereka.

"Ia akan mengurangkan pergantungan kewangan ke atas kerajaan," katanya semasa membentangkan Bajet 2010 di Dewan Rakyat, hari ini.

Najib berkata usaha sama awam-swasta akan ditingkatkan bagi membolehkan sektor swasta memacu pertumbuhan ekonomi.

Projek berimpak tinggi oleh sektor swasta akan dijalankan bersama dengan kerajaan.

Peranan kerajaan ialah memudahkan peruntukan infrastruktur asas bagi memastikan projek berdaya maju," katanya.

Antara projek yang akan dilaksanakan pada 2010 ialah pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Bersepadu (CIQ) di Bukit Kayu Hitam, pembinaan enam kampus UiTM serta pusat Matrade.

Najib berkata sumbangan sektor swasta dalam memacu ekonomi akan ditingkatkan.

Untuk itu, beliau berkata kerajaan akan memberi keutamaan untuk meningkatkan pelaburan domestik dan menggalakkan syarikat tempatan di luar negara untuk membawa balik keuntungan dan melabur semula dalam negara.

Pada masa ini beliau berkata negara menghadapi saingan sengit daripada negara-negara jiran dalam menarik menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang terhad.

Oleh itu beliau berkata langkah-langkah agresif dan inovatif akan diambil bagi menarik dan meningkatkan kemasukan FDI.

Perdana Menteri juga berkata kerajaan akan menangani isu struktur bagi menawarkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif bagi menjadi ekonomi berorientasikan pasaran.

Untuk itu, beliau berkata pihak berkuasa tempatan akan mengambil langkah segera untuk memudahkan pendaftaran perniagaan dan menyegerakan pengeluaran Arahan Pembangunan.

Beliau berkata kerajaan sudah mewujudkan dua Mahkamah Perusahaan bagi menyegerakan perbicaraan kes-kes komersil dan menyelesaikannya dalam tempoh sembilan bulan berbanding tempoh yang lebih lama sebelum ini.

"Bagi memastikan sistem penyampaian yang berkesan, individu dan syarikat hanya perlu mengguna satu rujukan tunggal dalam urusan mereka dengan agensi-agensi kerajaan.

"Bagi individu, inisiatif itu dikenali sebagai MyID, menggunakan nombor MyKad, manakala syarikat, MyCoID, menggunakan nombor pendaftaran perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (CCM)," katanya.

Bagi menuju ke aran negara berpendapatan tinggi, Najib berkata: "Negara memerlukan asas yang kukuh dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan aktiviti pengkomersilan.

Oleh itu beliau berkata bagi mengukuhkan aktiviti R&D, kerajaan antara lain akan mengambil langkah untuk menyelaraskan semua dana penyelidikan dan geran supaya lebih berkesan dalam mencapai sasaran.

Kerajaan juga akan mewujudkan Pusat Kecemerlangan Inovasi Nasional yang disokong oleh rangkaian pusat kecemerlangan inovasi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta usaha sama dengan Kementerian Pengajian Tinggi.

Usaha lain termasuk menyepadukan aktiviti R&D dengan pendaftaram paten, hak cipta dan cap dagang bagi memastikan proses R&D dilaksana lebih berkesan dan menyediakan perusahaan kecil dan sederhana dengan potongan cukai ke atas perbelanjaan yang dibuat untuk pendaftaran paten dan cap dagang dalam negara.

Kerjasama antara agensi paten dan penyelidikan akan mempercepat pengkomersilan penemuan, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain